Amelia Earhart di Taiping

Salah satu tarikan di bandar Taiping, Perak ialah mural pada bangunan di simpang Jalan Abdul Jalil dan Jalan Taming Sari memaparkan Amelia Mary Earhart, juruterbang Amerika Syarikat yang cuba melakukan penerbangan mengelilingi dunia pada tahun 1937.

Lebih membanggakan bagi penduduk tempatan adalah apabila lukisan menggunakan cat kalis air tujuh warna itu dirasmikan pada 31 Ogos 2019 dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records, empat bulan kemudian.

Akan tetapi, sejak awal, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena berkaitan lukisan tersebut. Hal ini turut saya bincangkan dengan pengerusi Persatuan Warisan Taiping, Yeap Thean Eng sewaktu kami bertemu di pejabat beliau pada 2 Disember 2021.

Apa yang saya syaki ternyata berasas kerana nampaknya bukan saya sahaja musykil dengan fakta yang dikemukakan menerusi lukisan mural setinggi 14.6 meter dan selebar 27.44 meter dengan kos RM280,000 tajaan sebuah syarikat swasta dari Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan di akaun Facebook milik Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pada 1 September 2019, Chen Teck Meng dan Khok Chai Ong mengambil masa sembilan hari untuk menyiapkan mural itu pada dinding bangunan kedai dua tingkat.

“Mural ini menggambarkan seorang wanita Amerika, Amelia Mary Earhart, seorang perintis penerbangan dan juga seorang pengarang yang lahir pada 24 Julai 1897 di Atchinson, Kansas, Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.

Sesungguhnya, Amelia seorang tokoh yang disanjungi pada peringkat antarabangsa. Beliau merupakan juruterbang wanita pertama melakukan penerbangan solo merentas Lautan Atlantik pada Mei 1932.

Buku berjudul 20 Hours 40 Minutes (1928) dan The Fun of It (1932) merakamkan pengalaman dan kecintaan wanita itu kepada bidang penerbangan.

Suaminya, George Palmer Putnam, mengumpulkan surat dan catatan Amelia untuk diterbitkan sebagai buku berjudul Last Flight (1937) selepas wanita berkenaan hilang sebelum sempat melengkapkan misi penerbangan mengelilingi dunia.

Pada 1 Jun 1937, Amelia dan pemandu arah bernama Fred Noonan memulakan penerbangan sejauh 47,000 kilometer dari Miami dengan penuh semangat.

Mural Amelia Earhart di Taiping

Malangnya, selepas melakukan penerbangan sejauh 35,000 kilometer merentas Amerika Selatan, Afrika, kawasan sekitar India dan Asia Tenggara, pesawat Lockheed Electra yang dipandu Amelia meninggalkan New Guinea (kini Papua New Guinea) dan tidak dapat dikesan sehingga hari ini.

Bukanlah misteri kehilangan juruterbang wanita itu yang mahu diabadikan menerusi mural besar pada dinding bangunan dua tingkat di Taiping. Sebaliknya, berkaitan perjalanan dan salah satu tempat persinggahan Amelia dan Fred dalam misi penerbangan penuh bersejarah itu.

“Dalam perjalanan dan penerbangan ini, mereka telah berhenti di beberapa tempat untuk mengisi bahan bakar, termasuk di Padang Terbang Tekah, Assam Kumbang iaitu antara padang terbang tertua di Malaysia,” kata catatan MPT di Facebook.

Sesungguhnya terdapat sekitar 40 tempat atau bangunan bersejarah di Taiping yang diiktiraf sebagai yang pertama di Malaysia. Misalnya, muzium, penjara, taman tasik, padang golf, landasan kereta api, gereja, pasar dan lapangan terbang.

Tentulah mural yang memaparkan wajah Amelia dan pesawat Lockheed Electra mampu meningkatkan daya tarikan Taiping yang namanya membawa makna “keamanan yang berkekalan”.

Tulisan pada mural itu (yang dibuat kemudian oleh Teck Meng) menyebut Lapangan Terbang Tekah (1930) sebagai yang pertama di Malaya (Malaysia). Fakta itu adalah benar dan tepat. Malah, lapangan terbang itu masih beroperasi walaupun tidak digunakan untuk penerbangan awam.

Masalah timbul apabila dicatatkan bahawa Amelia “telah singgah untuk mengisi bahan api pada 20 Jun 1937” di lapangan terbang berkenaan.

Memang ramai orang menerima perkara itu sebagai fakta sejarah berdasarkan dokumen yang memang wujud.

Sewaktu saya melakukan lawatan ke beberapa tapak warisan di Taiping pada Disember 2021, terdapat sekitar sepuluh mural dengan pelbagai tema yang diusahakan sejak tahun 2015.

Sebenarnya, terdapat kesalahan fakta berkaitan dakwaan Amelia mendarat di Lapangan Terbang Tekah untuk mengisi bahan api.

Dalam buku Last Flight berdasarkan catatan dan surat Amelia, dinyatakan bahawa pesawat Lockheed Electra telah mengisi minyak di Bangkok sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.

Mengikut rekod penerbangan rasmi, Amelia dan Fred meninggalkan Miami, Amerika Syarikat pada 1 Jun 1937, lalu singgah antara lain di Caripito, Venezuela (3 Jun), Natal, Brazil (7 Jun), Dakar, Senegal (10 Jun), Assab, Eritrea (15 Jun) dan Karachi, Pakistan (17 Jun).

Kemudian diteruskan ke tempat seperti Calcutta, India (18 Jun), Bangkok, Thailand (20 Jun), Singapura (21 Jun), Bandung, Indonesia (24 Jun), Darwin, Australia (29 Jun) dan Lae, New Guinea (2 Julai) sebelum pesawat dilaporkan hilang dalam penerbangan menuju Pulau Howland.

Kekeliruan dan salah tanggap mengenai peristiwa Amelia mendarat di Tekah, Taiping ada alasan yang logik juga.

Pada awal Jun 1937, sebelum Amelia dan Fred memulakan misi penerbangan mengelilingi dunia, saya andaikan mereka (atau George selaku penyelaras) telah turut menghubungi pihak berkuasa British di Malaya untuk mendapatkan izin mendarat di Tekah jika perlu.

Bahan arkib membuktikan memang Amelia diberi kebenaran untuk mendarat di Tekah untuk mengisi bahan api. Fakta itu tidak boleh dipertikai.

Walau bagaimanapun, memandangkan pesawat sudah diisi bahan api di Bangkok, Amelia dan Fred memutuskan untuk meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Kallang, Singapura.

Maka, walaupun mendapat izin mendarat di Tekah, tiada bukti menunjukkan Amelia mendarat di sana. Hakikat ini turut mula diakui media tempatan pada hujung Disember 2019.

Hanya menjelang Julai 2022, Kerajaan Negeri Perak mengumumkan telah meminta MPT menyemak kesahihah fakta terbabit. MPT pula segera menyerahkan laporan kepada exco kerajaan negeri Perak.

Pada Ogos 2022, kerajaan negeri mengarahkan Lembaga Muzium Perak menyiasat dan memutuskan sama ada mural Amelia perlu dipadam atau dibetulkan kesalahan fakta.

Sempena majlis pelancaran “Jejak Seni Warisan Taiping” pada 29 Januari 2023, Yang Dipertua MPT tetap menyebut mural berkenaan sebagai antara tarikan pengunjung tempatan dan luar negara.

Jika anda ke Taiping, jangan lupa singgah berswafoto di hadapan mural Amelia sementara ia belum diubah atau dipadam terus.

__________________________________________________________________________________________________________________

Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Misteri Michael Soosai – Bahagian 3