AMK Negeri Sembilan sedia sebar maklumat, manfaat Belanjawan 2023

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan bersedia untuk menjadi agen penyampaian maklumat berkenaan manfaat Belanjawan 2023 kepada segenap lapisan rakyat.

Ketua Penerangannya, Umry Abdul Khois berkata, langkah itu diambil memandangkan peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia.

“Belanjawan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan merangkumi keperluan orang ramai dengan banyak menyediakan peruntukan kepada golongan belia.

“Sebab itu, AMK juga perlu memberi penerangan kepada golongan muda mengenai bantuan dan program diterima,” jelasnya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai manfaat yang diterima oleh golongan muda daripada Belanjawan 2023.

Untuk rekod, pelbagai manfaat diperoleh anak muda dalam Belanjawan 2023, antaranya, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.

Dalam masa sama, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyediakan RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga B40 untuk berniaga.

Mengulas lanjut, Umry menyambut baik keprihatinan kerajaan untuk menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing.

Timbalan AMK Cabang Jelebu itu juga berpendapat pelbagai peruntukan tersebut memberi manfaat kepada anak muda untuk meningkatkan kemahiran diri dan pendapatan untuk masa depan yang lebih baik.

“Bagi saya, pelbagai ikhtiar kerajaan ini memberi impak yang besarkepada anak muda memandangkan bantuan tersebut belum pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menegaskan bahawa agihan peruntukan dalam Belanjawan 2023 adalah selaras dengan prinsip Madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

BACA JUGA Pantai Port Dickson suram, peniaga harus faham ‘isyarat’ masyarakat