Anak muda Kelantan rupanya tunggu konsert ‘patuh syariah’ walau berhujan

Anak muda Kelantan rupanya tunggu konsert ‘patuh syariah’ walau berhujan

TV3 menerusi klip videonya berkongsikan sedutan suasana sebenar berlangsungnya konsert Karnival Jom Heboh (KJH) yang diuar-uarkan kerajaan negeri sebagai patuh syariah.

“Walaupun hujan penonton masih steady tunggu konsert sampai habis,” tertera kapsyen diberi.

Rakaman video menunjukkan bagaimana pihak penganjur membaling barang kepada khalayak penonton yang bercampur lelaki dan perempuan.

Ada antaranya berpayung manakala ramai lagi nampaknya sanggup berhujan sepanjang konsert berlangsung.

Anak muda Kelantan terbabit kedengaran berteriak tidak sabar rebutkan barangan yang dibaling itu sehingga terpaksa ditenangkan oleh pihak penganjur.

Malah, ada penduduk tempatan mendedahkan terdapat ibu bapa yang membawa anak-anak berusia bawah lima tahun basah lencun berhujan.

Tidak kurang juga, kelihatan warga emas yang turut basah kuyup berhujan.

Sambutan hangat penduduk pantai Timur Semenanjung terutamanya Kelantan semasa konsert penutup tirai Karnival Jom Heboh selama tiga hari itu turut dikongsikan menerusi TikTok TV3.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Efendi Omar mendakwa lebih 300,000 pengunjung hadir sepanjang karnival tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai mempersoal kewajaran kerajaan negeri membenarkan konsert terbabit ketika pelbagai tohmahan dilontar kepada negeri lain yang dilabel tidak mempunyai kesedaran Islam.

“Ni bukan Kelantan. Pulau Pinang ni. Di Kelantan konsert tak bercampur laki puang gini boh!

“Korang tengok betul-betul. Lelaki perempuan mana campur. Konsert patuh syariah ni.

“Berebut pahala walaupun hujan.

“Taksub sangat kesian anak-anak kecil basah kuyup.

“Rupanya, teramat minat dengan hiburan,” demikian antara sindiran warganet.

Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan dalam maklum balasnya menegaskan bahawa konsert sempena Karnival Jom Heboh (KJH) itu dipantau oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, beliau dimaklumkan pemantauan bermula dari waktu Maghrib sehingga selesai itu dilakukan oleh Pegawai Pelesenan MPKB-BRI.

ADUN Demit berkenaan berkata, laporan mengenai keadaan adalah terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton mengenai pengasingan tempat duduk (kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki) serta berulang kali memohon penonton menjaga tatasusila sepanjang konsert.

“Ini sejajar dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudian diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.

“Garis panduan ini diwujudkan bagi menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan di bawah kawalan kerajaan negeri berdasarkan enakmen itu sebagai panduan kepada pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.

“Bagi melengkapkan garis panduan kawalan hiburan yang ada, pihak MPKB-BRI mengeluarkan syarat bagi melicinkan urusan pelesenan,” kata Asri lagi.

BACA JUGA PU Syed bantah himpunan PN 16 September

 

COMMENTS

Wordpress (0)