Angkara ‘kikis’ KWSP, ada pesara mampu berbelanja 68 sen sehari

Amirudin Shari

Ekoran empat kali pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 2020, Datuk Seri (PH-Gombak) berkata terdapat pencarum yang hanya mampu berbelanja 68 sen sehari selepas bersara.

Beliau berkata, desakan berhubung pengeluaran dana simpanan persaraan itu tidak boleh hanya mempertimbangkan kesan jangka pendek ketika Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengambil kira kadar baki simpanan sebahagian besar pencarum yang amat membimbangkan, terutama selepas kerajaan sebelum ini membenarkan siri pengeluaran KWSP sebanyak empat kali ekoran wabak Covid-19.

“Saya faham apa yang diharapkan sesetengah pihak, tapi kita tidak boleh melihat negara berkembang hanya dalam satu dua hari saja.

“Satu kajian yang dibentangkan kepada kami ketika pemukiman baru-baru ini, selepas pengeluaran dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang membantu rakyat tapi perbelanjaannya tidak diagihkan dengan tepat.

“Akhirnya, hari ini ada sebahagian pencarum hanya mempunyai sejumlah 68 sen (untuk dibelanjakan) sehari (selepas bersara) kalau umur pencarum itu mencecah 75 hingga 78 tahun,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, kerajaan perlu mempertimbang antara kebertanggungjawaban dengan pendekatan populis dan gesaan yang dibangkitkan pembangkang, supaya kerajaan tidak terkesima dan tertipu dengan propaganda.

BACA JUGA Selepas ‘berkubur’ 31 tahun, Amirudin harap Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan