Antara sedekah dan rasuah dalam Malaysia Madani

Sehari dua ini, antara berita yang paling hangat diperkatakan adalah presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu pilihan raya itu sebagai sedekah, bukannya rasuah.

Manusia yang bergelar ulama dan kononnya memperjuangkan agama Islam tetapi mengeluarkan kata-kata seperti sesumpah politik mengikut keperluan politik.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” kata Hadi, sepertimana yang dilaporkan media.

Ekoran dari itu Ketua Pembangkang Datuk Hamzah Zainuddin pula dilaporkan berkata seperti berikut: Apabila kita cakap pasal beri duit. Niat itu yang penting. Ada mereka minta duit untuk baiki rumah dan sebagainya.

“Oleh itu, kita perlu berhati-hati sebab niat kita bagi duit adalah kerana mereka (pengundi) yang memerlukannya,” katanya kepada pemberita.

Penulis tidak berminat untuk membincangkan polemik berkenaan perkara ini yang membabitkan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain yang mempertahankan Hadi.

Penulisan ini juga tidak akan menjurus kepada samada wujud elemen rasuah atau tidak kerana sudah ada banyak pandangan yang diutarakan oleh kedua-dua belah pihak.

Untuk Hadi dan PAS, ini bukan amalan baru. Bukankah Hadi dan partinya yang meletakkan calon pilihan ketiga semasa PRU14? Perkara itu dibuat dengan mendapatkan dana dari Umno tetapi ia memakan diri.

Apabila perkara ini dibongkarkan oleh Clare Rewcastle Brown melalui laman sesawang Sarawak Report, Brown disaman diheret ke mahkamah di Britain. Walau bagaimanapun Hadi tidak meneruskan saman fitnahnya terhadap Brown.

Mengapa pula Hamzah yang juga mantan menteri dalam negeri dan setiausaha agung Bersatu memberi komen yang menyokong?

Mungkin kerana bos beliau, Tan Sri Mahiaddin Yassin – pengerusi Perikatan Nasional dan presiden Bersatu – turut sama terpalit dalam skandal rasuah RM92.5 bilion. Perkara ini dijelaskan secara mendalam oleh kolumnis Harapan Daily, Mohamed Hanipa Maidin.

Merujuk kepada kenyataan Hadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komentar berikut:

“Ini fahaman yang boleh merugikan negara dan fahaman masyarakat. Sedekah sebagai amal jariah, ok tapi sedekah untuk dapat undi pilihan raya itu ertinya ‘corruption’,” kata beliau merujuk kepada rasuah dalam Bahasa Inggeris.

Malaysia Madani

Bagaimana melihat permasalahan di atas dari sudut kerangka wawasan – Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Anwar? Visi yang dibawa oleh Anwar adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah esok hari ini.

Kerumitan yang ditimbulkan oleh Hadi adalah masalah semalam yang berterusan hari ini dan menjadi barah esok.

Jika dikaji permasalahan semalam ini, kita dapat melihat bahawa sekurang-kurangnya empat dasar rukun madani terkait.

Empat rukun tersebut adalah seperti berikut:

  • kemampanan dalam konteks kelewahan majuan mutu bangsa
  • kesejahteraan yang seimbang dari sudut jasmani dan rohani
  • hormat dan adab
  • keyakinan yang merangkumi ketertanggungjawaban dan keimanan.

Apakah langkah jangka pendek yang perlu diambil sebagai persediaan atau penyelesaian? Dari sudut institusi, sebagaimana yang dihuraikan secara panjang lebar di dalam wawasan Anwar, perkara ini wajar disiasat oleh institusi, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dari sudut  perundangan pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said wajar meneruskan usaha mengangkat rang undang- undang pendanaan politik.

Rang undang-undang ini sepatutnya dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 22 Oktober tetapi perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah membubarkan parlimen pada 10 Oktober.

Kumpulan NGO, Transparency International – Malaysia telah pun menyatakan keperluan kerangka pendanaan dari negeri diperlukan.

Mantan menteri yang memegang portfolio hampir sama dengan Azalina, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu menyatakan bahawa penubuhan sebuah agensi kawalan pendanaan dan derma politik turut dimasukkan di dalam cadangan rang undang-undang berkenaan.

Sekiranya idea ini diangkat, maka tidak perlulah kita diadudombakan bahawa pemberian wang itu sedekah bukan rasuah.

Malahan rekod wang yang dikutip oleh Pas dalam tin Milo setiap kali mereka mengadakan sesi ceramah akan diketahui umum.

Pas tidak perlu lagi mengadap parti lain atau masyarakat untuk dana pilihan raya.

Rakyat juga akan bebas memberikan dana kepada parti politik pilihan mereka secara sistematik dalam konteks Malaysia Madani.

BACA JUGA: Hadi fatwakan rasuah pilihan raya halal?

Pas kini beri duit kepada pengundi, lapor Sarawak Report