Anwar arah Jemaah Menteri teliti teguran Laporan Ketua Audit Negara

Anwar arah Jemaah Menteri teliti teguran Laporan Ketua Audit Negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri untuk mengambil serius dan meneliti setiap teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021 tentang soal perbelanjaan dan ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Perdana Menteri berkata mesyuarat Kabinet hari ini telah meneliti laporan tersebut namun memilih tidak mengumumkannya untuk memberi ruang kepada badan-badan di bawah kementerian untuk menjawab.

“Untuk kali ini, saya minta supaya Jemaah Menteri melihat secara serius teguran-teguran ini supaya tidak berulang kerana laporan Ketua Audit Negara memberikan syor-syor tetapi kesilapan atau keterlanjuran yang sama itu diteruskan tahun demi tahun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Perdana Menteri berkata Jabatan Audit Negara akan mengumumkan laporan itu pada waktu yang sesuai dan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata laporan sedemikian penting kerana mengesan kesilapan yang sama seperti kurang pengawasan, membiarkan ketirisan dan menyerahkan kepada syarikat-syarikat yang tidak mengikut peraturan.

Anwar berkata laporan audit itu merujuk kepada beberapa kejadian dan masalah tertentu tetapi tidak semestinya berkaitan rasuah kerana ia bukan dalam bidang kecekapan pihak audit sebaliknya lebih kepada tujuan untuk mengenal pasti masalah.

Tambahnya menjadi tanggungjawab kementerian untuk meneliti laporan audit dan memanggil agensi terbabit untuk mendapatkan penjelasan serta menentukan sama ada tindakan atau laporan lanjut perlu dibuat.

“Setiap kementerian mesti mengambil tanggungjawab untuk meneliti kritikan terhadap kementerian walaupun ini berlaku pada masa lalu, namun ia bagi mengingatkan kepada penjawat awam mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan integriti dan kecekapan di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata penjawat awam boleh membuat teguran kepada menteri atau pegawai atasan melalui saluran yang betul dan secara bersemuka dan bukan menerusi kenyataan media.

“Nak tegur kita ada mekanisme, pertemuan-pertemuan saban hari ada. Ada mesyuarat post-cab, dia boleh kemukakan pandangan dan kalau dia rasa agak menyinggung mungkin boleh jumpa secara berasingan,” katanya.

Memberikan contoh, Anwar berkata beliau mengingatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk memberi nasihat kepadanya sekiranya arahan beliau tidak mengikut peraturan.

“Ini barulah kita kerja secara berpasukan. Jadi, dia juga harus terima kenyataan bahawa keterlanjuran mereka kita juga harus tegur, jika tidak budaya rasa takut maknanya bila ada pelanggaran dia diam,” katanya. – Bernama

COMMENTS

Wordpress (0)