Anwar berlepas ke Turkiye, beri sokongan moral mangsa gempa bumi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam ini bagi memberikan sokongan moral kepada rakyat negara itu yang ditimpa bencana gempa bumi pada Isnin lalu.

Turut berlepas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali serta delegasi Malaysia.

“Sejurus tiba di sana, saya akan ke Gaizantep bagi melihat sendiri kawasan bencana yang terjejas selain berjumpa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang ditugaskan membantu operasi carilamat mangsa gempa bumi.

Saya percaya, kumpulan SMART berkemampuan dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi seperti ditunjukkan sebelum ini hingga mampu membawa keluar mangsa yang masih hidup dan terselamat dalam bencana tersebut,” kata beliau dalam hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata perjalanannya dan delegasi kemudian diteruskan pula ke Ankara bagi menemui rakan sejawat Presiden Recep Tayyip Erdogan bagi menunjukkan sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi itu.

“Saya memohon seluruh rakyat jelata agar mendoakan perjalanan kami dan dipermudahkan urusan di sana hendaknya,” katanya.

BACA JUGA: PM Anwar terima jemputan Erdogan, beri sokongan moral mangsa gempa Turkiye