Anwar dikunjungi MB Perak, Pahang bincang isu negeri – Persekutuan

Jadual kerja Perdana Menteri (PM) ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu padat dengan menerima kunjungan 2 Menteri Besar (MB) di pejabat rasmi Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Anwar yang baharu sahaja mengakhiri lawatan ke Indonesia semalam, menyelesaikan krisis politik Sabah malam tadi, pagi ini bertemu MB Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya menerima kunjungan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang di Putrajaya.

“Pertemuan tersebut menyentuh perihal aspek pembangunan serta kemajuan dan kemakmuran negeri Pahang.

Datuk Seri Saarani membincangkan isu negeri bersama PM

“InshaAlllah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Pahang akan terus dipererat demi kelangsungan dan kejahteraan rakyat Pahang khususnya,” kata beliau.

PM juga menerima kunjungan MB Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di pejabatnya tengah hari tadi.

“Saya turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan delegasi Kerajaan Negeri Perak hari ini.

“Kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak akan terus dipererat terutamanya dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri Perak,” katanya lagi.