Anwar, Dr Mahathir, cemburu dan legasi

Anwar, Dr Mahathir, cemburu dan legasi

Nampaknya bekas Pengerusi Pejuang Tun Mahathir yang kalah teruk di Langkawi, tidak pernah serik atau mahu berundur dari persada politik tanahair. Beliau terus mendabik dada seolah-olah tiada siapa yang mampu memulihkan negara pasca COVID-19.

Beliau masih terus-terusan menafikan kebolehan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) PMX. Tiada siapa yang mampu mentadbir negara ini melainkan beliau. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang beliau pilih sendiri kemudiannya tersingkir dengan pelbagai persepsi negatif yang dia bina. Seolah-olah kemudiannya Tun Abdullah adalah Perdana Menteri lemah yang tiada apa-apa kebolehan. Mahathir memulakan gerakan bagi men’jatuh’kan Tun Abdullah. Tun Abdullah kemudian tersingkir dipintu kekuasaan.

Tun Mahathir kemudian menobatkan pula Datuk Seri Najib Razak (DSNR) sebagai Perdana Menteri. Namun akhirnya mendapati DSNR tidak memenuhi cita-rasa Tun M dan DSNR tidak boleh dikawal oleh beliau. Mahathir masih beranggapan DSNR tidak cukup setia kepadanya dan tidak cukup mengikut telunjuk beliau samada dari jarak dekat atau jarak jauh. DSNR tidak dilihat mahu meneruskan legasi pentadbiran dan dasar seperti yang beliau mahukan.

Tahun 2018 menyaksikan DSNR dan pasukan BN kalah kepada Pakatan Harapan dalam PRU14. Mahathir ketika itu menunggang bahtera Pakatan Harapan untuk untuk mengambil peluang kesempatan menjatuhkan DSNR. Beliau berjaya sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Namun beliau tidak ‘memperduli’kan PH yang mengangkatnya sebagai PM bagi kali kedua. Beliau melantik siapa yang beliau mahu ke dalam kabinetnya. Ramai kepimpinan utama PH yang berjaya dalam PRU14 telah beliau ketepikan dan tidak dipilih menjadi anggota kabinet. Negara akhirnya menyaksikan jatuhnya kerajaan PH disebabkan oleh pengkhianatan melalui langkah Sheraton. Sukar untuk menafikan bahawa Mahathir adalah punca utama kejatuhan kerajaan PH. Sukar juga untuk menafikan penglibatan beliau sebagai teraju utama pengkhianatan di kalangan BERSATU dan PKR.

Mahathir mungkin tidak membaca tulisan Charles Allers tentang siapakan DSAI dan juga tidak berminat menelaah buku mengenai Asia Renaissance. Ketokohan DSAI di dunia Islam dan dunia barat sebenarnya menjadi kecemburuan Mahathir. DSAI yang pernah beliau didik, tidak akan mengikuti segala acuan Tun M. Beliau sedar akan hakikat ini.

Beliau tidak mahukan transformasi dan reformasi yang menyeluruh dalam pembangunan negara selain dari apa yang beliau ‘impikan’. Sedangkan impian beliau hanya terbaik pada zamannya dan telah merupakan khazanah usang yang mungkin tidak berguna lagi. Ia hanya layak menjadi catatan sejarah satu kejayaan pentadbiran masa-lalu. Mahathir perlu sedar hakikat ini.

Dinamik kepimpinan DSAI telah kelihatan dari hari pertama sebaik beliau mengangkat sumpah sebagai PMX. Beliau terus memberikan tumpuan kepada nadi rakyat, iaitu kos sara hidup dan kesukaran rakyat jelata.

Beliau tidak gelojoh terhadap kuasa yang beliau perolehi.  Fokus utamanya adalah kelestarian, gelora kehidupan rakyat, menumpu kepada pengukuhan kembali perpaduan rakyat pasca PRU15, menangani isu banjir dengan sangat agresif dan meluncurkan idea-idea baharu untuk mentadbir negara dengan tatakelola yang baik, ketelusan pengurusan kewangan negara dan reformasi institusi negara.

DSAI begitu cermat dalam pembentukan kabinet perpaduannya. Beliau memastikan kabinet terbentuk bukan untuk memberi habuan kepada pendokongnya dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan. Namun beliau kelihatan berusaha membina sebuah kabinet yang progresif, lebih kecil tetapi efektif dan kabinet lestari. Semua potfolio dibentuk supaya ia berkesan dalam memberikan penyampaian terbaik kepada rakyat dalam suasana sekarang.

Hampir dua puluh lima (25) tahun beliau menunggu untuk menjadi PM. Hidupnya penuh gelora, cabaran, fitnah dan dugaan. Hingga jasadnya terpenjara oleh fitnah dan tuduhan yang langsung tidak masuk akal. Namun kesabaran lah mengangkat beliau ditampuk kepimpinan negara dan dalam keadaan yang sangat unik iaitu pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia. Sosok ini tidak pernah mengeluh atas anugerah ini.

Kecemburuan terhadap DSAI lebih cenderong kerana kebolehan yang Tun M tidak miliki terutamanya pengiktirafan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

Ketika penantian sebagai PMX selain keluar masuk penjara, YAB DSAI perupakan felo utama (principle fellow) di beberapa pusat akademik tersohor dunia. Beliau pernah dilantik di Universiti Georgetown Amerika Syarikat sebagai felo di Prince AlWaleed Centre for Muslim-Christian Understanding. Beliau turut pernah diangkat sebagai felo kehormat di Universiti Oxford, United Kingdom.

Kesarjanaan YAB DSAI juga mendapat pengiktiran oleh institusi keilmuan dunia seperti John Hopkins dan Georgetown University Amerika Syarikat. Tokoh sarat ilmu dan kuat membaca ini telah memberikan syarahan di institusi berkenaan.

YAB DS Anwar Ibrahim merupakan sosok hebat. Ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan, Malaysia menikmati era kemakmuran dan pertumbuhan yang belum pernah terjadi sebelumnya sehingga memungkinkan majalah kewangan terkemuka Euromoney menamakan DSAI ‘Top Four Finance Minister’ dan pada tahun 1996 majalah Asiamoney pula menganugerahkannya ‘Finance Minister Of The Year’. Ini cukup membuktikan pengiktirafan dunia terhadap kebolehan beliau menerajui kepimpinan kewangan negara dan sekaligus merupakan di antara pra-syarat beliau untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Dasar yang beliau pegang kukuh mengenai ketelusan, tatakelola baik, integriti dan menentang rasuah antara resepi utama melayakkan DSAI menerajui negara terutamanya ketika dunia sedang bergelut suasana ekonomi tidak menentu pasca COVID-19.

Pengetahuan beliau yang sangat mantap dan terkini mengenai Sains Data (Data Science) dan Artificial Intelligent. Ilmu ini amat berguna dalam pentadbiran moden dan sangat relevan dengan fokus ekonomi, dataraya rakyat, kewangan, industri, pertanian serta perladangan.

Pilihan terhadap YAB DSAI sebagai PMX sesungguhnya tepat pada masanya seiring dengan anjakan paradigma yang sangat pantas dalam dunia moden serba-mencabar. YAB DSAI mengikuti semua pergerakan tersebut dan malah kadangkala pemikirannya memintas perkembangan teknologi semasa.

Inilah diantara yang amat dicemburui oleh Tun M, di samping mungkin rasa tercabar dengan kebolehan tadbir-urus yang terbaik yang akan diserlahkan oleh YAB DSAI. Tun M juga mungkin ada kebimbangan jika amalan kronisma dan nepotisma pada eranya terdedah. Sebenarnya tiada apa yang perlu dicemburui atau dibimbangi jika ia benar-benar bersih dan dilaksanakan dengan jujur serta amanah.

Namun, sesungguhnya rakyat masih tidak lupa peristiwa 2 September 1998 dan mata-lebam, pengaiban terhadap DSAI dan keluarga beliau serta derita sengsara akibat pemenjaraannya. Sesungguhnya YAB DSAI adalah sosok tabah, pejuang reformasi dan akan membawa pentadbiran negara dengan amalan terbaik, telus dan tatakelola terbaik.

Dunia akan menyaksikan Malaysia bangkit kembali menyaingi jiran dan meluncur maju kehadapan dipersada politik dan ekonomi Asia dan dunia, dibawah teraju YAB PMX. Tun M tidak harus gundah gulana dan gusar, bantulah kepimpinan negara masakini dan jangan mencemuh.
——
Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pendapat dan pandangan penulis dan bukan melambangkan pendirian akademi. Penulis juga merupakan salah seorang anggota G70.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )