Anwar kembali menghadiri PAU
Setelah lebih dua dekad, Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan kembali menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi PAU 2023. Perkara ini telah dinyatakan oleh setiausaha agung Umno Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi.
“Pada tahun ini PAU sedikit kelainan kerana turut dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk 19 pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Kali terakhir Anwar menyertai PAU ialah pada tahun 1998 sebagai timbalan presiden Umno. Kali ini beliau tetamu khas yang akan diraikan oleh Umno Pusat Dagangan Dunia.
Asyraf turut mengumumkan bahawa PAU kali ini menyaksikan pindaan perlembagaan.
Pindaan akan dibuat berkaitan dengan pendaftaran dalam talian.
“Antara perkara yang Presiden (Zahid Hamidi) mahu untuk permudahkan (pinda) pendaftaran keahlian terutamanya keahlian atas talian (online).
“Kita terima banyak maklum balas dari anak-anak muda yang mahu sertai UMNO, tapi (menjadi sukar) disebabkan kekangan perlembagaan, contohnya setiap pendaftaran itu perlu dapat kelulusan ketua cawangan.
“Jadi ini juga dipermudahkan supaya anak muda genrasi sekarang lebih dekat dengan UMNO,” ujarnya lagi.
Isu -isu yang akan dibahaskan oleh perwakilan adalah yang berkaitan ekonomi dan agama Islam.
“Saya menjangkakan isu-isu yang menyentuh soal ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara akan menjadi topik utama,” katanya.
Seramai 6,341 ahli dan akar umbi UMNO dijangka hadir bagi memeriahkan lagi Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 7 hingga 10 Jun ini.
Selain itu, karnival jualan juga turut diadakan membabit 92 reruai sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung.