Anwar: Kerajaan perpaduan stabil dengan majoriti kuat

Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pasca pilihan raya umum ke 15 adalah kerajaan yang stabil dengan majoriti yang kuat berbanding kerajaan – kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dulu majoritinya dua, tiga atau empat. Tidak salah untuk bercita-cita besar tapi mereka perlu berpijak di bumi nyata. Sokongan PH, BN, GPS, GRS dan beberapa lagi adalah besar,” kata Anwar ketika menjawab soalan berkaitan kerajaan perpaduan yang beliau pimpin itu.

“Yang dulu ada pengkhianatan dari dalam. Mereka yang berbuat demikian pun sudah tiada, dihukum oleh rakyat,” tambah beliau lagi.

Anwar berkata begitu ketika ditemuramah dalam rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh saluran televisyen RTM 1 dan laman media sosial Facebook, malam ini.

Beliau berkata demikian, merujuk kepada pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ketujuh, kelapan dan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Kerajaan Dr Mahathir tumbang sejurus selepas mantan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mengetuai kumpulan ahli parlimen untuk melompat kepada pembangkang.

Kerajaan pimpinan Mahiaddin pula tumbang apabila 15 pemimpin Umno menarik balik sokongan mereka.

“Apa alasan untuk tolak sekarang?” tanya beliau.

Beliau turut mengulas berkenaan dengan pergolakan politik Sabah yang menyaksikan percubaan untuk mengambil alih kedudukan yang ketika ini disandang oleh Datuk Hajiji Noor.

Ia bermula dengan pengumuman oleh presiden Warisan Datuk Shafie Apdal yang turut disokong oleh Timbalan Ketua Menteri Bung Mokhtar Radin. Ekoran itu, kerajaan Sabah bakal menyaksikan rombakan kabinet.

Anwar bagaimanapun menyatakan bahawa Pakatan Harapan Sabah membantu kerajaan Hajiji dari tumbang.

“Di Sabah ada satu dua cubaan kerana majoriti kecil tapi tak mungkin berlaku kerana pendirian PH adalah untuk kerajaan stabil.”

Anwar turut mempertahankan perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh parti – parti yang menganggotai blok kerajaan.

“MOU diadakan dalam keadaan kerajaan majoriti kecil,” katanya sebelum usul undi percaya dijalankan di Dewan Rakyat.

Beliau turut menggambarkan ratipan pembangkang berkenaan majoritinya sebagai “jeritan tiga empat orang tak dapat menerima realiti”.