Anwar: Kerajaan terdahulu tidak buat apa-apa berkaitan kes cabar syariah

Anwar: Kerajaan terdahulu tidak buat apa-apa berkaitan kes cabar syariah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan terdahulu – Perikatan Nasional, langsung tidak mengambil tindakan berkaitan kes yang mencabar enakmen syariah dan menunggang isu tersebut demi keuntungan politik.

“Kes di Selangor pada tahun 2021 dan diikuti di Kelantan. Kita tak dengar jawatankuasa ditubuhkan. Menteri undang-undang dulu tak buat apa. Di mana yang kita tentang?,” kata Anwar merujuk kepada kes Iki Putra dan kes Nik Elina Zurina.

“Kes dibawa pada 25 Mei tahun lalu. Siapa perdana menteri (ketika itu)? Doa saja berjela. Pasal apa menteri tak jalankan tugas? Mahkamah benarkan prosiding dalam bulan Sept tahun lalu tapi menteri tak tahu ada kes syariah.”

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dalam sesi pertanyaan perdana menteri berhubung kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan pimpinan Pas. Azizi turut bertanya berkenaan jawatankuasa khas mengkaji keberkesanan Dewan Undangan Negeri dalam membuat undang-undang negeri.

“Ketua Hakim Negara telah beri teguran. Kita mesti ambil pertimbangan supaya kes ini dilihat. Sub judice bincang. Ia bukan mencabar syariah, ia mencabar keputusan kuasa negeri dalam perlembagaan. Beliau juga tegur beberapa peguam.”

Semalam Mahkamah Persekutuan mengumumkan bahawa keputusan kes Nik Elin lawan negeri Kelantan ditangguhkan. Ia juga memberikan peringatan agar tidak memesongkan fakta kes.

Nik Elin dan anak perempuannya mencabar keabsahan 18 enakmen syariah Kelantan dan mahu enakmen-enakmen berkenaan diisytihar sebagai tidak sah.

Berhubung dengan jawatankuasa pula, Anwar berkata ia akan melihat bagaimana hendak mengangkat syariah tanpa menjejaskan hak bukan Islam.

Kelantan ambil inisiatif yang bertentangan dengan perlembagaan. Mahkamah persekutuan tidak menentang syariah. Biar mereka putuskan. Tanggungjawab kerajaan ialah tubuhkan jawatankuasa. Ada negeri yang keras dalam prinsip dalam kalangan negeri.

“Kita setuju jawatankuasa yang diperkenan raja-raja untuk mengangkat mahkamah syariah.

Keputusan tak jejaskan usaha martabatkan syariah

Menjawab soalan tambahan Azizi yang mencadangkan kerajaan menjadi pencelah dalam kes Nik Elin, Anwar menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak akan menjejaskan usaha kerajaan memartabatkan syariah.

“Saya akan usahakan dengan semua pihak ada persepsi seolah mencabar syariah kerana orang politik tunggang agama untuk politik. Isu substantifnya bidang kuasa.

“Keputusan kes Mahkamah Persekutuan dan kes Selangor ialah apa negeri boleh buat. Setiap negeri ada percanggahan. Ada usaha selaraskan undang-undang. Keputusan ini tidak menghalang kerajaan dan Majlis Raja-Raja memberi pandangan buat peraturan tingkatkan bidangkuasa mahkamah syariah.

Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), Anwar berkata jawatankuasa tersebut akan menjadi platform memperkasakan enakmen syariah tanpa menjejaskan kepentingan masyarakat bukan Islam.

“Yang penting bagi kita ialah jawatankuasa bincang. Jika diperkenan, semua bersetuju untuk tingkat bidangkuasa syariah dan kita tidak mahu kesan atas bukan Islam. Jika dibawa ke dewan, ia perlu majoriti dua pertiga.”

Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) yang menjadi menteri undang-undang di bawah kerajaan terdahulu menjelaskan bahawa beliau tidak lagi menjadi menteri ketika kes Nik Elin difailkan.

Beliau menyoal berkenaan jawatankuasa tersebut ekoran kenyataan Majlis Agama Islam yang menggesa penubuhan jawatankuasa disegerakan.

“Majlis Raja-Raja bersidang dua minggu lalu. Kita kena ada pekeliling untuk mengesahkan jawatankuasa yang akan diumumkan oleh Menteri Agama.

Cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut telah diumumkan oleh Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 28 Ogos.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )