Anwar penggerak penerapan nilai Islam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai rencam idea, terutamanya dalam penerapan nilai-nilai Islam. Tambahan pula Anwar pernah menjadi mengetuai Angkatan Belia Islam Malaysia dalam era 1970an.

Ketua Pemuda AMANAH, Senator Hasbie Muda berkata, jika disingkap kembali sejarah terdahulu, anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu antara yang menjadi penggerak kepada penerapan nilai Islam bersama-sama perdana menteri ketika itu.

“Saya nampak (ketika ini) program Islam yang dibawa Datuk Seri Anwar memang lebih baik. Kalau diikutkan sejarah pada tahun 80-an, sewaktu Pas cuba membawa imej Islam, waktu itu beliau antara yang menggerakkan penerapan nilai-nilai Islam bersama perdana menteri seperti memperkenalkan Bank Islam.

“Saya lihat beliau mempunyai banyak idea berkaitan Islam. Saya merasakan beliau akan memperkenalkan satu persatu lagi pada masa akan datang. Sekarang ini apa yang kita lihat hanya satu permulaan,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyertaan Anwar dalam majlis Qiamullail Perdana di Masjid Putra, Putrajaya pada 15 April lalu, sekali gus syiar Islam dilihat terus berkembang di bawah pentadbiran Malaysia Madani.

Majlis Qiamullail Perdana anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dihadiri kira-kira 2,000 jemaah yang memanfaatkan baki 10 malam terakhir Ramadan yang suci dan penuh keberkatan untuk beribadah.

Ia merupakan amalan ibadat pada waktu awal pagi sebelum subuh dengan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat sunat taubat, tahajjud, witir dan lain-lain, serta amalan-amalan seperti membaca Al-Quran , berzikir , beristighfar, berdoa dan sebagainya.

Ditanya bagaimana beliau melihat kepimpinan Anwar daripada segi nilai Islam di bawah pentadbiran Malaysia Madani, Hasbie menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang menyeluruh.

“Saya berpendapat nilai Islam yang dibawa oleh beliau lebih menyeluruh. Ini kerana, dalam pembentangan bajet tempoh hari, saya lihat penekanannya adalah untuk menoktahkan 130,000 miskin tegar di negara ini.

“Nilai itu memang selaras dengan ajaran Islam iaitu kita perlu menyelesaikan masalah miskn tegar. Sebenarnya itu langkah yang lebih dekat dengan rakyat. Daripada kita bercakap tentang Islam, tapi tak nampak apa pelaksanaannya.

“Di bawah Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar, kita nampak beliau memang fokus kepada agenda-agenda yang selaras dengan ajaran Islam,” ujarnya lagi.

BACA LAGI: Anwar PM pertama hadiri Qiamullail Perdana