
Dewan Rakyat: Anwar perjelas isu OIC, kes Nik Elin
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menjawab dua soalan semasa sesi pertanyaan Perdana Menteri meliputi isu antarabangsa dan dalam negara.
Isu pertama adalah berkaitan isu antarabangsa iaitu hasil mesyuarat persidangan kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi berkenaan jenayah dan pembasmian kaum Israel ke atas Palestin.
Soalan ini dikemukakan oleh Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading). Beliau turut bertanya berkenaan hasil yang memanfaatkan negara sempena lawatan perdana menteri ke persidangan mesyuarat ke-30 pemimpin ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat.
Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) pula bertanya pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kes yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Azizi menyifatkan kes tersebut sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Sehubungan itu Azizi bertanya berkenaan usaha kerajaan untuk memelihara undang-undang syariah.
Kes tersebut didengar semalam di Mahkamah Persekutuan. Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan bahawa kes itu tidak mencabar Islam atau syariah sebaliknya kecekapan Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang negeri.
Sementara itu dalam sesi jawab lisan, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) bertanya mengenai kes pengantunan kanak-kanak sejak Julai 2017 sehingga 2022 memandangkan pengantunan adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) pula bertanya mengenai perkembangan cadangan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian terhadap kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Untuk rekod MKI dipengerusikan oleh Sultan Selangor.