
Anwar peroleh injunksi sementara halang Sanusi ulang kenyataan fitnah
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diperintah untuk tidak mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang memfitnah Perdana Menteri di mana-mana platform media sosial.
Arahan itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memperoleh perintah injunksi sementara yang menghalang Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral.
Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar berkata Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding semalam.
“Perintah injunksi itu dikeluarkan bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain.
“Defendan juga harus mematuhi perintah injunksi ex-parte ini dengan serta-merta selepas penyampaian perintah ini kepada defendan,” kata Nair ketika dihubungi media hari ini.
Perintah injunksi itu adalah berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung dakwaan ucapan yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Hakim memerintahkan Sanusi perlu mematuhi perintah injunksi itu dengan serta merta selepas perintah berkenaan disampaikan kepadanya.
Anwar, 75, selaku plaintif mendakwa, kenyataan Sanusi adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Sehubungan itu, beliau memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang Sanusi daripada terus mengungkap, mengarang dan menerbitkan kenyataan serupa dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Anwar, Datuk SN Nair dalam kenyataa berkata, kes saman terbabit masih menunggu pendengaran, walaupun begitu Sanusi masih mengulangi kenyataan fitnah yang serupa berkaitan dengan perbicaraan jenayah Anwar yang lalu.
Beliau berkata, ia diulangi Sanusi dalam dua ceramah di Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan; dan Jelajah Selangor Baharu – Selayang pada 11 Julai lalu di Selayang, Selangor
Baca juga: Pejabat Sultan Perak lapor polis, video Sultan disunting supaya pengundi sokong Pas