Anwar: Tawaran bukan daripada saya mahupun pimpinan kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau menawarkan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Saya tidak dimaklumkan sama sekali. Ia (tawaran) bukan daripada saya bukan juga daripada pimpinan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara tersebut tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN), menurutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Rafizi Ramli telahpun menafikan dakwaan presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, pihaknya juga tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan beliau terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas.

Pada 27 Mei lalu, Hadi mendakwa ada pihak tertentu, terutamanya PKR, yang menawar partinya untuk menyertai Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan terbesar itu dalam konteks pilihan raya negeri akan datang.

Pilihan raya membabitkan enam buah negeri: Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijangka diadakan dalam bulan Julai atau Ogos.