Anwar tiba di Manila untuk lawatan rasmi dua hari, erat hubungan Malaysia-Filipina
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Manila, Filipina bagi lawatan rasmi selama dua hari di republik itu.
Beliau disambut Menteri Kebajikan dan Pembangunan Rexlon T. Gatchalian, Timbalan Menteri Bianca Christina Cardenas Zobel, Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose dan wakil daerah Kota Pasay Antonio G. Calixto.
“Saya di sini bagi bertemu Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dan juga anggota kerajaan Filipina dalam rangka memperkemas serta memperkukuh hubungan akrab kedua-dua negara selain meneroka peluang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara.
“Semoga Allah SWT permudahkan, Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri, mendarat di Pangkalan Udara Villamor pada pukul 12.50 tengah hari.
Ini merupakan lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada akhir tahun lepas.
Pada sebelah petang, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R. Marcos Jr di Istana Malacanang dan diberikan sambutan negara, diikuti mesyuarat dua hala antara delegasi kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat itu.
Esok Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’ di Universiti Filipina yang ditubuhkan pada 1908.
Beliau juga akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada senat universiti itu serta mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada sebelah petang.
BACA JUGA: Hentikan Islamofobia jika hendak Malaysia kekal bersatu, multi budaya – Anwar