APM sedia tambah anggota perkukuh organisasi

Dalam memperkukuh organisasi di semua peringkat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menambah baik skim perkhidmatan seusai dengan pencapaian yang telah diterima.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, APM merupakan sebuah pasukan yang mempunyai pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui ‘International Civil Defense Organization’ (ICDO) yang berpusat di Geneva pada tahun 2010.

“Berasaskan pengiktirafan ini sewajarnya APM dipertimbangkan untuk mempunyai skim perkhidmatan pegawai dan kakitangan yang lebih kompetitif, sekali gus melonjakkan profesionalisme sumber manusia.

“Perbincangan awal sudah dijalankan untuk penambahan dibuat bagi skim perkhidmatan sedia ada, termasuk penambahan pegawai tetap dan juga kontrak,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke Ibu Pejabat APM hari ini.

                                                                              Armizan Mohd Ali

Menurut Armizan, APM kini sedang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan perjawatan tetap dan kontrak dalam usaha mempertingkatkan keupayaan kemahiran dan pemilikan aset APM.

Armizan berkata, penambahan jawatan itu perlu untuk kesiapsiagaan berdepan dengan kemungkinan berlaku bencana pada bila-bila masa.

Tumpuan perjawatan itu adalah untuk operasi di daerah berikutan tugasan APM yang turut menangani insiden kecemasan.

Katanya, ketika ini APM sudah mempunyai seramai 10,500 anggota termasuk sukarelawan.

Pada masa yang sama, antara fokus utamanya adalah untuk melonjakkan keupayaan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yng ditubuhkan bagi melaksanakan tugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara lebih sistematik dan efisyen.

“Penubuhan PASPA sebagai sebuah pasukan penyelamat yang mampu memberi perkhidmatan cemerlang dalam kerja-kerja menyelamat sama ada ianya berbentuk kecemasan darat, hutan, akuatik mahupun bersifat urban.

“Dalam berhadapan situasi bencana yang semakin kompleks, perolehan aset yang lengkap merupakan aspek penting yang perlu diberikan keutamaan,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Armizan turut menyerahkan sebuah bas sumbangan e-konsortium kepada Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed untuk kegunaan APM selain menyampaikan sijil penghargaan kepada 281 anggota yang terlibat dalam kejadian bencana runtuh di Batang Kali, Selangor.

Baca juga APM terus diperkasa sebagai komponen penting hadapi bencana