APM terus diperkasa sebagai komponen penting hadapi bencana

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus diperkasa bagi membolehkan pasukan tersebut menjadi antara komponen penting dalam agenda pengurusan bencana negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali telah menggariskan beberapa fokus utama APM yang perlu disegerakan bagi mengoptimumkan peranan agensi itu.

“Antara keutamaan segera adalah memperluas penglibatan generasi muda melalui program seperti Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam.

“Ini bersesuaian dengan fungsi asas APM iaitu melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu pertahanan awam ke arah kesiapsiagaan menghadapi ancaman musuh, kecemasan dan bencana,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat APM di Sungai Merab, Kajang, Selangor pagi tadi.

Dalam lawatan kerja itu beliau turut mengadakan sesi diskusi bersama kepimpinan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan APM berkenaan hala tuju memperkasa fungsi dan peranannya.

Katanya, APM juga akan diperkasakan sesuai dengan peranannya sebagai urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JKPB) di peringkat daerah dan negeri.

Tambahnya lagi, antara program rintis yang akan akan dilaksanakan adalah Program Kampung Siaga di 221 kampung terpilih di seluruh negara, di mana penduduk setempat akan diberi kesedaran dan diperkasa dalam mendepani cabaran bencana dan kecemasan yang berlaku.

Armizan juga berkata APM akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan kini negara masih lagi berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka akan berakhir pada Mac 2023.

“Saya juga menegaskan supaya APM sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik terutama ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran bencana yang semakin kompleks,” ujarnya lagi.

Fungsi APM ketika ini adalah untuk melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu pertahanan awam ke arah kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.

Dalam situasi bencana alam APM amat diperlukan sebagai tenaga utama dalam melaksanakan tugas menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan selain agensi Bomba dan Penyelamat.

BACA LAGI Hospital wanita dan kanak-kanak patuh syariah Kelantan di alam bunian

Â