Bahana nikah di luar negara

Di dalam khutbah Jumaat hari ini, Jabatan Agama Islam Selangor membicarakan perihal pernikahan umat Islam di Malaysia yang dibuat di luar negara seperti di Thailand.

Perkara ini dibangkitkan kerana sejak mutakhir terdapat peningkatan kes pernikahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia merentasi sempadan.

Lima sebab utama telah dikenalpasti sebagai punca penularan pernikahan berlaku di luar negara iaitu:-

a. Poligami tanpa kebenaran mahkamah mudah dan tanpa pengetahuan isteri yang sedia ada.

b. Dakwaan kononnya wali nasab tidak bersetuju meskipun mereka yang mahu bernikah boleh saja menggunakan wali hakim atau wali raja.

c. Pasangan terlanjur mahu tutup aib mereka.

d. Pernikahan dengan warga asing dianggap lebih mudah dilaksanakan di luar negara.

e. Anggapan rakyat Malaysia beragama Islam yang menjadi pemastautin luar negara bahawa kebenaran pihak berwajib tidak diperlukan.

Pihak JAIS menyenaraikan sebanyak tujuh kesan dari perbuatan bernikah di luar negara seperti berikut:-

i. Pendaftaran pernikahan akan mengambil masa panjang kerana pendengaran dan dokumentasi pendaftaran semula diperlukan.

ii. Tanpa pendaftaran, surat perakuan nikah tidak akan dikeluarkan. Ini pula akan memberikan kesan buruk kepada anak kerana kelahiran tidak boleh didaftarkan dan kewarganegaraan anak juga akan dipersoal.

iii. Bagi mereka yang bernikah dengan warga asing, akan timbul masalah penyambungan visa untuk terus berada di negara ini.

iv. Pengurusan harta pusaka terjejas kerana dokumen pernikahan tidak diiktiraf.

v. Tuntutan dan perceraian di mahkamah syariah akan terbantut tanpa surat perakuan nikah yang diiktiraf.

vi. Pernikahan di luar negara boleh diisytihar sebagai tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak dan pernikahan dibubarkan.

vii. Mereka yang bernikah dengan kaedah ini boleh didakwa kerana melakukan kesalahan seperti berpoligami tanpa kebenaran, berakad tanpa kebenaran, lewat mendaftar perkahwinan dan bersubahat melakukan pernikahan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda RM1000 atau dipenjara selama enam bulan.