Bahang cuaca panas disebabkan oleh pemanasan muka bumi

Fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata setakat semalam, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celcius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.

“Fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Oleh itu, beliau menyarankan kepada mereka yang berkerja di luar bangunan supaya berhati-hati jika cuaca terlalu panas.

“Risiko akibat suhu yang terlalu tinggi atau gelombang haba adalah seperti dehidrasi, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba yang boleh memburukkan keadaan kesihatan seseorang,” katanya.

Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol dengan suhu maksimum harian mencecah 35-37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.

Â