Bantuan kotak makanan Yayasan Perak ditangguh sebab ADUN tampal gambar muka sendiri

Bantuan kotak makanan Yayasan Perak ditangguh sebab ADUN tampal gambar muka sendiri

Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni menepis dakwaan pembangkang kononnya Yayasan Perak (YP) telah menahan serahan bantuan kotak makanan kepada wakil rakyat untuk diagihkan.

Beliau menegaskan, YP sendiri yang membuat keputusan tersebut tanpa ada arahan daripada pihak atasan dan ia turut melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu termasuk pihak kerajaan.

“Keputusan itu dibuat susulan tindakan segelintir ADUN pembangkang yang tidak jujur dan menyalah gunakan pemberian kotak YP tersebut untuk tujuan politik dan parti mereka sendiri, walhal kotak itu adalah pemberian daripada pihak kerajaan.

“Yang betulnya ialah, Yayasan Perak telah menahan serahan bantuan Kotak Makanan YP kepada semua ADUN di negeri Perak termasuk juga kepada ADUN Kerajaan.

“Ia bukan arahan daripada pihak atasan tetapi, keputusan yang dibuat oleh YP sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Kotak Makanan daripada kerajaan negeri kelihatan ditampal dengan gambar ADUN PN seolah-olah bantuan itu daripada pembangkang.

 

Mohd Fitri berkata, YP menerima laporan terdapat juga ADUN yang menampal gambar muka mereka sendiri di kotak tersebut dan menggunakan plastik untuk menyerahkan makanan yang asalnya daripada kotak itu.

“Yang lebih teruk, ada yang ambil makanan daripada kotak itu dan guna plastik untuk serah bantuan makanan kepada rakyat.

“Kononnya nak tunjuk sumbangan itu daripada pihak mereka sendiri. Baik ke tak baik macam itu?

“Tapi itulah walaun… nama saja parti Islam, tapi tidak jujur dan amanah. Bila disekat, menyalak macam orang kena sawan,” tempelak beliau lagi kepada parti pembangkang itu.

Dalam isu sama, Mohd Fitri mengingatkan pihak pembangkang yang berkenaan supaya tidak membuat perangai ‘hodoh’ mereka.

“Lepas itu buat fitnah pula. Orang buat baik tapi hangpa tak pernah nak hargai. Elok pun ditahan,” bidasnya.

Kelmarin, Pusat Khidmat ADUN Trong mendakwa YP telah menerima arahan pihak atasan untuk menangguhkan agihan 50 kotak makanan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukan Kerajaan mulai Oktober 2023, manakala agihan 50 kotak kepada wakil parti kerajaan diteruskan.

“Pusat Khidmat ADUN Trong akan berusaha menampung keperluan rakyat dengan menyediakan sendiri pek bantuan makanan lain bagi keperluan penduduk DUN Trong. Insya-Allah.

“Doakan yang baik-baik untuk kesejahteraan negeri dan rakyat Perak,” menurut hantaran di Facebook rasmi pejabat wakil rakyat pembangkang itu.

Untuk rekod, DUN Trong diwakili oleh Muhammad Faisal Abdul Rahman dari Perikatan Nasional (PN).

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )