Batalkan pengharaman buku “The Golden Son of the Kadazan”

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, patut dipuji atas arahannya supaya siasatan baharu “segera” dijalankan terhadap dakwaan yang mengatakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah merampas MyKad seorang pesakit kanser warga emas di Sarawak, Lina (Samuel), dan janjinya untuk mempercepatkan pengeluaran semula MyKad kepada Lina sekiranya dia dapat membuktikan yang dia lahir di Malaysia.

Usaha membentuk pasukan khas oleh Saifuddin untuk menyelesaikan isu berkaitan kewarganegaraan, terutamanya di Sarawak di mana JPN telah mengumpulkan sejumlah 948 kes kanak-kanak tanpa kewarganegaraan juga patut dipuji.

JPN juga telah membentuk pasukan khas untuk membantu penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang berhadapan dengan isu mengenai dokumentasi untuk bergerak dari rumah ke rumah untuk membantu mereka yang tidak dapat hadir ke pejabat JPN.

Ada satu lagi kesilapan yang telah berlarutan selama 45 tahun yang patut diperbetulkan secepat mungkin oleh Saifuddin selepas nyahklasifikasi Laporan Siasatan Nahas Double-Six Nomad 1976.

Nyahklasifikasi laporan siasatan nahas yang terjadi pada 6 Jun 1976 yang telah mengorbankan nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens, bersama tiga orang menteri negeri Sabah, Salleh Sulong, Peter Mojuntin, dan Chong Thien Vun, telah menimbulkan persoalan – bukan sahaja daripada waris-waris mangsa, tetapi juga rakyat Malaysia – mengenai mengapa laporan ini dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi selama 47 tahun.

Hari ini genap 47 tahun sejak pilihan raya negeri Sabah 1976 yang menyaksikan parti Berjaya yang baru dibentuk mengalahkan USNO dan Tun Mustapha Datuk Harun untuk membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu, di mana keraian untuk era baharu untuk Sabah ini hanya dapat bertahan selama 52 hari sebelum nahas Double-Six Nomad terjadi dan mengubah sejarah Sabah sehingga hari ini.

Bernard Sta Maria telah menulis biografi arkitek utama Sabah Baharu di bawah pentadbiran USNO, Peter Mojuntin. Namun bukunya ini, “The Golden Son of the Kadazan” telah diharamkan penerbitannya.

Saya gesa Saifuddin untuk membaca buku Bernard ini, kerana dia tidak akan menjumpai apa-apa sebab di dalam buku ini yang boleh menjadi alasan kepada pengharamannya, seperti mana tidak ada sebab sama sekali untuk laporan nahas Double-Six Nomad dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi selama 47 tahun.

Malah, Bernard telah menggambarkan Peter Mojuntin secara tepat sebagai seorang rakyat Malaysia yang patut dijadikan teladan, yang telah terinspirasi dengan prinsip-prinsip asal Malaysia seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan bukannya menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik; di mana Malaysia menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kumpulan etnik, agama, budaya, dan tamadun, dan bukannya menjadi tanah di mana berlakunya penindasan keagamaan dan diskriminasi.

…….

The Golden Son of the Kadazan ditulis oleh mendiang Bernard Sta Maria, mantan Adun Bandar Hilir dalam tahun 1976.

LIM KIT SIANG ialah tokoh veteran DAP.