Beban kos sara hidup rakyat, tumpuan utama Azli

EKSKLUSIF Fokus utama Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof ialah beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat di kawasannya. Menurut beliau pandemik Covid-19 telah meruncingkan lagi bebanan tersebut meskipun Malaysia berada dalam fasa pasca pandemik.

“Isu kos sara hidup sentiasa menjadi dilema kepada masyarakat kita terutama selepas keluar daripada pandemik Covid-19 yang lalu.

“Perkara ini (kos sara hidup) menjadi satu kegusaran apabila ramai yang hilang pekerjaan, inflasi semakin naik, kos sara hidup meninggi, ketidaktentuan harga barang akibat faktor bekalan, kekurangan bahan mentah serta kenaikan bahan asas telah menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat,” kata beliau semasa temuramah eksklusif bersama Harapan Daily baru-baru ini.

Azli, 55, ialah muka baru yang menang di atas tiket parti Amanah di Shah Alam semasa pilihan raya umum ke-15 dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 18,095 undi.

Beliau juga ialah ketua bahagian Amanah Shah Alam dan ketua penerangan Pakatan Harapan Selangor. Beliau juga mantan setiausaha politik kepada mantan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Azli yakin bahawa isu kos sara hidup akan dapat diatasi di kawasannya memandangkan perkara ini turut diberi tumpuan khusus oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Buktinya kos sara hidup ialah sebahagian dari nama kementerian yang diterajui oleh timbalan presiden Amanah – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Satu lagi perkara yang merisaukan beliau ialah risiko banjir yang boleh berulang di ibu negeri Selangor. Pada 18 Disember 2021, banjir terburuk melanda Shah Alam, terutamanya kawasan Seksyen 25. Para penduduk terperangkap dan terpaksa menunggu selama tiga hari sebelum mendapat bantuan kerana kelewatan pihak berwajib terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan bencana alam.

Seluruh aktiviti di bandaraya Shah Alam lumpuh ekoran dari kejadian tersebut.

“Apabila berlaku banjir pada penghujung Disember 2021, itu menjadi satu kebimbangan yang sentiasa menghantui masyarakat khususnya di Shah Alam ini. Penduduk berhampiran dengan Sungai Klang dan Sungai Damansara agak bimbang sekiranya hujan lebat turun jadi perlu ada satu solusi jangka pendek dan jangka panjang untuk pastikan ianya tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau maklum bahawa perubahan iklim adalah salah satu faktor yang menyebabkan bencana tersebut dan berharap pihak berwajib akan mempunyai pelan mitigasi banjir yang lebih berkesan untuk berdepan masalah ini sebagai langkah jangka pendek dan sederhana.

Selain itu, isu kesesakan lalu lintas dan pembangunan tidak seimbang turut menjadi perkara tumpuan beliau. Beliau sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan agar perkara ini boleh diselesaikan.