Bekalan ayam, telur sudah mula pulih

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu memberitahu bekalan ayam dan telur sudah mula pulih dan menjangkakan bahan makanan terbabit kembali stabil tidak lama lagi.

Menurutnya, pencapaian membanggakan itu adalah hasil kerja keras warga MAFS apabila berjaya mengatasi kekurangan telur daripada 157 juta biji pada bulan November 2022 kepada sejuta biji pada bulan Disember lalu.

“Alhamdulillah, sekarang ini bekalan ayam dan telur sudah mula pulih dan insyaAllah akan kembali stabil tidak lama lagi.

“Pada saya, komitmen dan kemampuan pegawai dan kakitangan saya di MAFS untuk menyelesaikan semua isu bekalan makanan amat tinggi dan mereka sangat profesional. Saya amat yakin dengan keupayaan semua warga MAFS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau bersama pengurusan tertinggi MAFS telah bertemu dengan beberapa pengeluar utama telur untuk mencari jalan penyelesaian terbaik supaya bekalan dapat dipulihkan sejurus melapor diri di MAFS pada 5 Disember lalu dan mendengar taklimat tentang situasi semasa bekalan telur.

Jelasnya, dalam masa yang sama juga MAFS cuba mencari sumber alternatif dari negara luar untuk mencukupkan bekalan.

“Maka bermula bulan Disember, kita telah membenarkan telur diimport sebagai langkah sementara untuk mencukupkan bekalan dalam negara,” ujarnya.

Menjawab persoalan mengapa kerajaan tidak menghentikan sahaja eksport telur, Mohamad berkata, pengeluar telur tempatan sangat mengharapkan hasil eksport sumber protein itu untuk menampung kerugian yang dialami di pasaran tempatan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, kawalan harga yang dikenakan terlalu lama boleh menyebabkan lebih banyak syarikat terpaksa menghentikan operasi.

“Kenaikan mendadak kos makanan ayam yang diimport dan kawalan harga yang terlalu lama telah menekan pengeluar telur tempatan.

“Lalu, MAFS telah berbincang dengan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan supaya kawalan harga dapat diberhentikan, namun saya meminta subsidi bersasar perlu diberikan kepada rakyat yang susah terlebih dahulu sebelum harga telur hendak diapungkan semula,” katanya lagi.

Baca juga Jangan ada tekanan, senyumlah macam pramugari