
Bekalan ikan dijamin cukup musim tengkujuh
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan bekalan ikan cukup sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang diramal bermula bulan depan hingga Mac tahun depan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, berkata antara langkah akan diambil ialah mendapatkan bekalan ikan dari negeri atau kawasan yang tidak terjejas sekiranya banjir berlaku di negeri-negeri di pantai timur.
Beliau berkata, selain itu LKIM juga akan menyediakan ikan sejuk beku menggunakan teknologi penyejukbekuan ‘Individual Quick Freezing’ (IQF) iaitu teknologi pemprosesan yang dijamin kesegarannya.
Ikan berkenaan, jelasas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu, akan dijadikan stok penimbal dan sedia dipasarkan nanti.
“Kita mempunyai bekalan ikan IQF sebanyak 90 tan metrik disimpan dalam bilik sejuk beku milik LKIM.

Faiz ketika bertemu dengan para nelayan di (PNK) Johor Selatan hari ini.
“Begitu juga rakan dagang kita iaitu pihak swasta yang mana kita mempunyai simpanan 1,600 tan metrik.
“LKIM juga menyediakan peruntukan RM200,000 untuk membeli ikan bagi memastikan bekalan mencukupi bagi tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Johor di Kompleks Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru hari ini.
Bantuan enjin bot
Dalam program itu, seramai 68 nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan, Insentif dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (‘touch point’).
Bantuan itu bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan B40 yang terbabit dalam aktiviti penangkapan ikan selain menambah kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti perikanan.
Sebanyak RM61,500 diperuntukkan bagi bantuan ‘touch point’ kepada 51 penerima dalam bentuk satu unit enjin bot 40 kuasa kuda kepada seorang penerima, 50 unit kotak ikan berinsulasi 100 Liter (50 penerima) dan 150 unit jaring (50 penerima).
Sejumlah RM15,900 diperuntukkan iaitu satu unit enjin bot 30 kuasa kuda dan 35 unit jaring masing-masing kepada seorang penerima selain RM9,672 diperuntukkan bagi bantuan ‘touch point’ kepada 16 penerima.