Bekas ADUN Bukit Kayu Hitam meninggal dunia

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam di Kedah, Datuk Ahmad Zaini Japar meninggal dunia pada jam 5.42 pagi, Sabtu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Berita duka itu dikongsi oleh anak Allahyarham, Ahmad Qusyairi di laman Facebook sekitar pukul 6 pagi tadi.

Menurut Ahmad Qusyairi, jenazah akan dibawa pulang ke kediaman ibu Allahyarham dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Changloon, Kedah selepas waktu Asar.

“Abah pergi di bulan Ramadan yang penuh mulia. Abah saya, Datuk Ahmad Zaini Japar telah kembali ke Rahmatullah.

“Mohon disedekahkan bacaan Alfatihah untuk Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat Allah serta ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham Ahmad Zaini yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu menjadi wakil rakyat di DUN Bukit Kayu Hitam sejak 2008 sebelum tewas kepada calon PKR Datuk Halimaton Shaadiah Saad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018.

Difahamkan Ahmad Zaini tidak melibatkan diri dalam PRU15 disebabkan masalah kesihatan.

BACA JUGA: Wadi Annuar akan dipanggil JAIPs kerana ceramah tanpa tauliah