Bekas Ketua Polis Negara dilantik Pengerusi PUNB

Bekas Ketua Polis Negara dilantik Pengerusi PUNB

Berkuat kuasa hari ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Acryl, 62, menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah melepaskan jawatan pengerusi pada 20 Disember 2022.

Pada masa ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Bhd.

Beliau merupakan bekas Ketua Polis Negara ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menduduki pelbagai jawatan sepanjang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antaranya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Negeri Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Menerusi satu kenyataan PUNB, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin, berkata, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Tan Sri Acryl dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara ini,” katanya lagi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)