Bekas MB Perlis didakwa gubah wang haram RM1.06 juta

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.

Azlan, 65, hanya mengangguk faham dan memohon supaya dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana menerima dana daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Wang itu dikatakan dimasukkan ke akaun bank Azlan antara Februari 2014 dan Disember 2017.

Beliau sebelum itu yang berpakaian kemeja putih belang hitam hadir kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan dilihat keluar dari kamar mahkamah pada jam 9.15 pagi.

Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun.

Kelmarin, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri itu.

Bekas ADUN Bintong itu didakwa di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan mengemukakan atau mengesahkan dokumen mengandungi butiran palsu.

BACA JUGA Azlan Man berdepan tuduhan lima tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta