Bekas setiausaha politik MB Kedah berdepan dua tuduhan rasuah

Bekas setiausaha politik MB Kedah berdepan dua tuduhan rasuah

Bekas setiausaha politik Menteri Besar Kedah Hilmi Abdul Wahab, 50, mengaku tidak bersalah di atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah di depan hakim Suzana Hussin.

Hilmi dituduh meminta RM250,000 daripada pengarah Kumpulan REE Mining Liana Mamat Khalid menerusi seorang individu bernama Syed Muhammad Syid Aluvi di Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 4 Julai.

Hilmi turut dituduh menerima RM150,000 daripada Liana pada 11 Julai di restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas.

Rasuah tersebut adalah untuk memastikan permohonan lesen penerokaan dan lesen melombong nadir bumi di Kedah diluluskan.

Kedua-dua tuduhan dibuat dibawah seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika didapati bersalah Hilmi berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000.

Selepas direman, Hilmi telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha politik dan digantikan oleh Zulkifli Yahaya, bekas Ketua Pegawai Khas MB Kedah. MB Kedah mempunyai lapan orang pegawai khas yang diketuai oleh Zulkifli, bekas Editor Berita Harakah itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan anggota exconya telah disoalsiasat sebelum ini.

SPRM juga telah menahan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Kedah Diperbadankan dan seorang pengarah syarikat wanita berhubung kes rasuah bernilai RM13 juta.

Hilmi telah diikat jamin dengan wang sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin. Beliau diwakili peguam Syed Naqiuddin Shahab.

Pendengaran kes ini akan bersambung pada 12 Januari 2024.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )