Belanjawan 2023 praktikal dengan keadaan semasa, utamakan rakyat B40

Belanjawan 2023 yang dibentangkan pertama kali oleh Kerajaan Perpaduan adalah praktikal dengan keadaan semasa negara baru keluar daripada pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Beliau berkata negara masih berdepan dengan keadaan ekonomi tidak stabil selain perang yang tercetus antara Rusia dan Ukraine.

“Belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah untuk memastikan bahawa perbelanjaan negara dilakukan secara berhemah dan juga pragmatik dengan kedudukan serta keadaan negara.

“Jadi apa yang disebutkan oleh PM itu merupakan keutamaan apa yang diberikan pada waktu sekarang,” katanya dalam program Wacana Sinar ‘Bajet 2023: Buah tangan terindah atau …’ yang disiarkan di media sosial Sinar Harian semalam.

Turut menjadi panel ialah penganalisis ekonomi Datuk Dr Nazri Khan manakala Irfan Faruqi dari Astro AWANI sebagai moderator.

Azli yang juga Ketua AMANAH Shah Alam berkata melalui inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 dilihat mampu meringankan beban kewangan rakyat terutamanya golongan B40 dalam berdepan ketidaktentuan global.

Pada 24 Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023 yang dinamakan Belanjawan Madani memperuntuk RM388.1 bilion berbanding Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion.

Azli berkata peningkatan jumlah peruntukan itu terpaksa dilakukan bagi memastikan segala kekurangan yang dihadapi dalam negara ini dapat ditampung selain dapat menarik lebih banyak lagi pelabur luar negara untuk melabur di negara ini.

“Kita (Malaysia) masih lagi terpaksa bergantung kepada penggunaan domestik yang terpaksa diwujudkan untuk memastikan bahawa kita (rakyat) mempunyai keupayaan untuk berbelanja.

“Dalam masa sama keadaan ini tidak mampan dan negara harus keluar daripada asas penggunaan domestik kepada ‘investment based’ (berasaskan pelaburan),” katanya.

Oleh sebab itu, beliau berkata peruntukan itu amat diperlukan untuk memastikan bahawa ekonomi negara dapat berjalan dengan baik selain menghadapi keadaan yang agak sederhana pada ketika ini.

Tambahnya, Malaysia memerlukan sedikit masa untuk menarik keyakinan pelabur luar memandangkan sebelum ini negara terpalit dengan skandal 1MDB dan ketidakstabilan politik selama hampir tiga tahun.

BACA JUGA: “Baca buku Madani, bukan bawa petikan luar” – Shah Alam bidas Ketua Pembangkang