Belanjawan 2023: Rakyat harap isu kos sara hidup, pengeluaran KWSP diteliti

Rakyat terutama golongan B40 dan komuniti peniaga kecil nampaknya meletakkan harapan yang tinggi pada Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini.

Tinjauan Harapan Daily (HD) di sekitar pusat beli belah di Ara Damansara, Selangor hari ini mendapati, rata-rata orang ramai ditemui berharap kerajaan akan benar-benar memberikan tumpuan berkaitan dasar mengurangkan beban kos sara hidup.

Mohd Fadly

Antaranya, penghantar makanan, Mohd Fadly, 26, yang ingin melihat pihak kerajaan mengurangkan harga motosikal kerana ia merupakan kenderaan utamanya dalam mencari rezeki.

”Belanjawan 2023 nanti, saya harap sangatlah kerajaan akan mempertimbang untuk mengurangkan harga motosikal. Saya memang menggunakan kenderaan itu untuk bekerja.

”Lagi satu, saya juga minta harga petrol dikurangkan memandangkan saya banyak menghabiskan masa di atas jalan raya untuk menghantar makanan kepada pelanggan,” katanya kepada Harapan Daily.

Dalam masa sama, Fadly yang berasal dari Sandakan, Sabah turut memohon kepada pihak kerajaan supaya harga barangan keperluan rumah turut diturunkan.

Sementara itu, penjual barangan kosmetik, Nur Bazilah Bahzulnizal, 27, pula mengharapkan kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan dalam pembentangan belanjawan kali ini.

”Gaji asas RM1,500 tak cukup sebab bila harga barang naik, RM1,500 itu memang tak cukup, lagi-lagi hidup di bandar.

”Yang bujang pun tak cukup, apatah lagi yang dah berkahwin. Walaupun saya ke tempat kerja hanya 15 minit dari rumah, tapi tetap terasa apabila mengeluarkan duit untuk isi minyak berulang alik ke tempat kerja,” katanya yang menetap di Damansara dan bekerja di Ara Damansara.

Aswaddin Abdul Malek

Lain pula dengan harapan seorang lagi penghantar makanan, Aswaddin Abdul Malek, 46.

Beliau memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar kepada ramai pencarum yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

Jelasnya, wang berkenaan diperlukan untuk pembelanjaan seharian memandangkan beliau seorang anak rantau dari Temerloh, Pahang.

”Saya asal Temerloh, kini tinggal di Selayang. Bagi saya, hidup di Kuala Lumpur ini memang perlukan duit yang lebih.

”Jadi, saya harap kerajaan dapat meluluskan pengeluaran KWSP. Dapatlah juga saya gunakan duit tersebut untuk mendirikan rumah tangga nanti,” katanya kepada HD.

Kerry Fong

Bagi penjual barangan mainan, Kerry Fong, 41, pula, ujarnya, kuasa membeli daripada orang ramai kelihatan berkurangan.

”Saya tidak minta banyak. Saya cuma berharap kerajaan dapat menaikkan nilai ringgit. Apabila nilai ringgit naik, kuasa membeli akan meningkat,” katanya lagi.