PM Anwar bentang Belanjawan Madani untuk hadapi ekonomi lemah

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan Madani petang ini yang disebutnya sebagai usaha untuk menghadapi ekonomi yang tidak baik.

Beliau memberikan data-data yang menunjukkan hutang negara yang banyak sehingga RM1.5 trilion dan kedudukan ekonomi negara dan dunia tidak baik.

Justeru, pembentangan Belanjawan 2023 yang beliau rumuskan sebagai Belanjawan MADANI ini ialah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

“Setelah mendengar keluhan rakyat dan gegaran suara saudarasaudari di Dewan yang mulia ini, saya memilih untuk menghidang Belanjawan keadaan sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan angka-angka yang memukau,” katanya.

Beliau memulakan dengan menghurai fakta dan cabaran sebenarnya yang membelit ekonomi dan tantangan kepada kita di Parlimen dan di negara; apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu.

Pertama, katanya,  kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi:

1. Hutang negara akan menjangkau 1.2 trilion ringgit atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023. Jika dihitung hutang dan liabiliti, kita mencecah 1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.

2. Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah 46 bilion ringgit atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.

3. Bayaran 46 bilion ringgit ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman. Dewan yang mulia ini harus diingatkan, sudah 25 tahun Kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah.

Yang Kedua, kata Anwar, Malaysia mengalami kemerosotan dalam pentadbiran.

Amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan, malah mencalar imej negara.

Kesannya:

a.  Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai 1998.

Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik.

b. Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir 3 bilion ringgit meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.

Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, Kerajaan telah hilang 72 juta ringgit hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.

c.  Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir 10 bilion ringgit nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu.

 

BACA JUGA Anwar tiba untuk perbentangan Belanjawan 2023

JUGA Belanjawan 2023: Antara cabaran dan harapan