Belanjawan sederhana berlandaskan Malaysia Madani dijangka jadi fokus

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2023 petang ini, belanjawan pertama bagi Kerajaan Perpaduan dan belanjawan pertama bagi Anwar selaku perdana menteri.

Semalam PM Anwar telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2023 ini kali kedua dibentangkan selepas perbentangan pertama pada Oktober 2022 sebelum pilihan raya umum lalu belum sempat diluluskan dan terpaksa dibentangkan semula selepas kerajaan bertukar.

Memandangkan ini belanjawan pertama untuk kerajaan baharu, ia sudah pasti menjadi perhatian banyak pihak kerana ia bakal memberikan kesan kepada semua rakyat negara ini.

Dari awal pelbagai pihak meramalkan bahawa belanjawan kali ini tidak akan menjanjikan projek-projek besar kerana negara dalam tempoh pemulihan dan perlu berjimat cermat bagi menghadapi tahun 2023 yang diramalkan Bank Dunia akan berdepan ekonomi sukar di seluruh dunia.

Namun PM Anwar berjanji, belanjawan untuk golongan B40 dan rakyat yang perlukan bantuan dan perhatian tidak akan diusik bahkan akan ditambah baik.

PM Anwar juga berjanji, tiada cukai baharu akan diperkenalkan untuk rakyat biasa tetapi subsidi bersasar akan diberi di mana bantuan akan diberikan kepada pihak yang memerlukan bantuan bukan kepada pihak yang sepatutnya memberikan bantuan.

Dengan subsidi bersasar ini, golongan yang memerlukan bantuan dijangka akan mendapat bantuan manakala golongan pertengahan dan atas tidak akan mendapat subsidi dari kerajaan.

Hasrat dan usaha PM Anwar difahami oleh rakan-rakan Kabinet beliau termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau menjangkakan belanjawan yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bakal berbentuk sederhana berlandaskan konsep Malaysia Madani.

“Bajet tahun ni tidak ada satu pengumuman yang mengejutkan sebab Bank Dunia pun dah ramal. Perbelanjaan tahun ini akan lebih kepada berjimat cermat.

“Namun kepada golongan B40 di bawah, (manfaat) tidak akan dipotong kepada mereka.

“Cuma kementerian haraplah kalau tak ditambah pun sekurang-kurang jangan ada potongan sebab kita tahu apa yang kita perlu buat tahun ini,” katanya dalam wawancara bersama Harapan Daily dan beberapa agensi media pada Isnin.

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, mengumumkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion secara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, RM5.32 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Apakah nilainya bertambah atau berkurang dari belanjawan yang dibentangkan Ismail dan bagaimana ia belanjakan, sama-sama kita tunggu perbentangannya petang ini.

 

BACA JUGA Belanjawan 2023: Mohamad Sabu harap peruntukan kementeriannya tidak dipotong

JUGA Dokumen Belanjawan 2023 disempurnakan petang ini