Berarak dengan ‘senjata’, berbaju perang: Pas kebal di negeri presiden?
Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyelar perarakan sekumpulan pemuda Pas yang membawa ‘senjata’ dan berpakaian perang di Setiu, 17 Februari lalu.
Pengerusi PH negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, mempersoal sama ada Pas tidak lut oleh undang-undang sehingga menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
“Adakah Pas mempunyai kekebalan di negeri Presiden Pas di Terengganu di mana mereka bebas berbuat apa sahaja?
“Kalau dahulu hanya beberapa belas orang kami dari PH membuat flash mob aman bantah kenaikan harga barang, beberapa jalan raya utama ditutup dan kami dikepung dan dibawa ke balai polis untuk di ambil keterangan. Seorang warga emas yang uzur dipanggil ke balai polis jam 11 malam pula disaman RM1,500.
“Tetapi Pas kini lebih berani dan lebih bebas bermaharajalela menunjuk sikap ekstrem mereka berarak di jalanan dengan ‘senjata’ dan berpakaian perang lengkap menimbulkan kegerunan rakyat jelata di Negeri Darul Iman.
“Apakah niat dan hajat pertunjukan persediaan untuk berperang ini di khalayak ramai?” soalnya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengingatkan bahawa perarakan di sebuah kawasan resort itu bercanggah dengan titah Majlis Raja-Raja mengenai kestabilan negara.
“Bukankah Majlis Raja-Raja telah bertitah meminta kestabilan Negara dipelihara tetapi (perarakan) ini perbuatan berniat sebaliknya.
“Acara secara amat terbuka dan agresif menunjukkan ‘senjata’ ini nyata untuk menimbulkan intimidasi dan kerisauan orang ramai dihadiri pimpinan utama Pas negeri dan pusat,” ujarnya.
Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga menegaskan bahawa penglibatan Presiden dan Ketua Pemuda Pas Pusat menunjukkan wujudnya restu pihak teratas parti dan hal tersebut, tambahnya lagi, tidak dapat dimaafkan.
Sehubungan itu, beliau berkata, PH Terengganu menuntut pihak keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu tersebut demi ketenteraman, keselamatan dan keharmonian negara.
“Tiada pihak berada di atas undang-undang negara walaupun berselindung di sebalik nama parti Islam kerana Islam benci kepada keganasan dan kekerasan.
“Kami berpendapat Pas sudah jauh terlanjur baik dari sikap, kata-kata ekstrem dan juga perbuatan keterlaluan intimidasi mengugat keamanan negara.
“Kami mendesak pihak kerajaan dan pihak keselamatan negara bertindak segera sebelum terlambat.
“Sudah terlalu banyak contoh buruk kelihatan kebelakangan ini dan jika tidak segera dibendung, ini mungkin akan mengundang kecelakaan yang buruk,” kata Raja Kamarul lagi.
Sehingga semalam, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya akan menyiasat dan mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam program perarakan yang telah tular di media sosial itu.
Menurutnya, perarakan itu merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
BACA JUGA Jangan terlibat perarakan timbulkan ketidakharmonian – Menteri Agama
Â