Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna

EKSKLUSIF Siri 1 Masalah kerosakan lif yang berlarutan dihadapi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 nampaknya masih belum menemui noktah penyelesaian.

Penduduk Blok H, Mazlan Md Yunos ketika ditemui Harapan Daily memberitahu, mereka terpaksa berdepan dengan masalah lif rosak setiap hari sekali gus menyukarkan aktiviti seharian.

“Lif baharu dipasang sebanyak 23 unit. Untuk makluman, di tujuh blok di sini, kami ada tiga unit lif setiap blok.

“Satu blok lagi iaitu di blok D, kami hanya ada dua unit lif kerana blok ini unit agak sikit iaitu 260 unit dan tujuh blok itu jumlah keseluruhannya adalah 392 unit.

Mazlan Md Yunos

“Lif-lif tersebut dipasang oleh pihak kontraktor, tetapi kebanyakan lif di setiap blok yang berfungsi cuma satu atau dua lif.

“Apabila ia rosak, pihak pengendali lif hanya memberi alasan tiada alat ganti. Walaupun diperuntukkan tiga lif satu blok, hanya satu atau dua lif sahaja berfungsi di kebanyakan blok.

“Bila kita tanya di peringkat pengurusan dan juga pengendali, mereka memberi pelbagai alasan,” katanya yang telah menetap di situ sudah 23 tahun.

Masalah lif rosak menyusahkan urusan seharian penduduk.

Mazlan turut menambah, masalah sedemikian sememangnya membelenggu penduduk yang menggunakan lif tersebut untuk urusan seharian mereka.

“Masalah ini agak menyukarkan kami terutamanya apabila tiba waktu puncak seperti anak-anak balik sekolah, orang balik kerja dan juga bila ada penduduk yang sakit,” katanya yang mewakili penduduk di situ.

Penduduk merayu agar pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah yang sekian lama                                                                                   menghantui mereka.