
Beri kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan
Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berharap masyarakat akan dapat memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir negara ini.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan akan melakukan yang terbaik demi memastikan tahap kehidupan masyarakat di negara ini, bertambah baik.
“Mereka akan buat yang terbaik untuk memastikan tahap kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan bekalan makanan akan berada dalam keadaan yang bak kata orang, terjamin.
“Tidak ada lagi masalah bekalan seperti mana yang berlaku sekarang ini. Memang betul YB Mohamad Sabu telah cuba untuk meningkatkan, sebagai contoh pengeluaran 20 peratus beras tempatan, tetapi perkara ini akan memakan masa dan bukannya sekejap.
“Ia mungkin boleh pergi sehingga tempoh satu bulan untuk memulihkan semula bekalan tersebut, tetapi misalnya kita mendapat maklumat contohnya terdapat pihak-pihak tertentu menyembunyikan stok dan sebagainya, kalau ianya dapat dibanteras, proses memulihkan stok ini akan dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu video berdurasi 2 minit 33 saat yang disiarkan di Facebook rasminya, hari ini.
Dalam pada itu, Lokman turut memuji berkaitan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang disifatkannya sebagai peruntukan yang sangat dekat dengan rakyat seperti keselamatan makanan, kesihatan dan infrastruktur.
“Kerajaan mana pun apabila memerintah, mereka akan cuba berikan yang terbaik kepada rakyat.
“Cuma pada masa sama, kita harap rakyat turut memberikan kerjasama membantu kerajaan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka hari ini,” ujarnya lagi.