Beri kepercayaan penuh kepada SPRM, kata Rafizi

Semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada sistem perundangan dan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengendalikan kes membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan hanya perlu mengekalkan perspektif supaya tiada campur tangan dalam kes terbabit.

Menteri Ekonomi berkenaan juga berkata, beliau tidak mencampuri kes penahanan Mahiaddin itu lantaran pengalamannya sebelum ini ketika menjadi pembangkang.

“… saya terima kes demi kes daripada wistleblower (pemberi maklumat) yang mana saya harus bercakap (mendedahkan kes itu) dan hampir membayar harga yang mahal (atas tindakan itu).

“Sekarang sebagai kerajaan, sangat penting untuk saya tidak dekat… untuk memastikan dari perspektif kerajaan supaya kita elakkan sebarang campur tangan.

“Dalam hal ini, biar proses itu berjalan, termasuk proses mahkamah, beri kepercayaan penuh kepada sistem kita, perundangan dan SPRM,” ujarnya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus Menteri Ekonomi bersama Ketua Jabatan Peringkat Negeri, mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Putrajaya, hari ini.

Esok, Mahiaddin dijangka berdepan enam pertuduhan membabitkan empat salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dipercayai didakwa atas kes salah guna dana awam program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

 

BACA JUGA Fitnah gaji RM15 juta: Mahiaddin fail penyataan pembelaan