Beri peluang parti lain tadbir Kelantan

Ahli Majlis Pimpinan AMK Kelantan Mohd Afiq Asyraf Mohd Nazi menyeru pengundi Kelantan memberi parti lain peluang mentadbir negeri tersebut memandangkan Pas yang kini menganggotai Perikatan Nasional gagal membawa perubahan yang bermakna untuk negeri Cik Siti Wan Kembang.

Menurutnya, sepanjang 3 dekad pemerintahan di bawah Pas, tidak ada perubahan signifikan yang dibawa oleh mereka bagi meningkatkan kemajuan negeri yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah. Pas mentadbir negeri pantai timur ini sejak tahun 1990.

“Kita semua sedia maklum, PAS tidak berupaya untuk menyelesaikan isu-isu di negeri Kelantan. Sepanjang 33 tahun ini, menteri besar PAS pun sudah bersilih ganti namun pembaharuan di negeri Kelantan masih ditakuk yang lama.

“Jadi inilah masanya untuk kita bagi peluang kepada parti lain untuk memberi wajah baru di negeri Kelantan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian, merujuk peralihan kuasa menteri besar. Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am Pas ketika itu menjadi menteri besar dari 1990 hingga 2013. Selepas kematiannya, jawatan menteri besar Kelantan disandang oleh Datuk Ahmad Yakob.

Afiq juga tidak menolak kerjasama Pakatan (PH) Harapan dan Barisan Nasional (BN) mampu memberi saingan yang sengit menjelang PRN nanti. Pasca pilihan raya umum ke -15 menyaksikan BN berganding dengan Pakatan Harapan dan pakatan politik dari Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menambah, pendekatan yang boleh dilakukan sekarang ialah mendekati pengundi atas pagar terutamanya pengundi luar yang majoriti mereka berhijrah di luar Kelantan.

“Di Kelantan, blok PH berada di tangga ketiga berbanding BN dan PN. Tetapi berdasarkan beberapa pemerhatian dan analisis, kita boleh melakukan sesuatu bagi mendapatkan kerusi ADUN sebanyak mungkin.

“Majoriti masyarakat tempatan memang mahukan perubahan kerana mereka terkesan dengan kekurangan di Kelantan. Cumanya pengundi luar yang bekerja di negeri lain, mereka tidak tahu keperitan yang kami alami.

“Sebab itu, pendedahan masalah bekalan air, kekurangan peluang pekerja dan infrastruktur perlu diberi keutamaan supaya pengundi luar mengambil maklum isu ini,” ujarnya.

Kelantan merupakan satu daripada enam yang tidak membubarkan dewan undangan negeri sempena dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung dalam bulan November 2022. Pilihan raya negeri untuk kesemua enam negeri akan berlangsung tahun ini.

Selain Kelantan, negeri- negeri tersebut adalah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

PRU-15 menyaksikan gandingan Pas dan Bersatu menyapu bersih kesemua 14 kerusi parlimen.

Umno hanya berjaya memenangi lapan kerusi DUN dari sejumlah 45 kerusi DUN semasa PRU-14.