‘Beri PM Anwar masa sekurang-kurangnya 100 hari laksana tugas’

EKSKLUSIF 2 Disember 2022 merupakan tarikh pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kabinet Kerajaan Perpaduan disertai 28 menteri termasuk Anwar sendiri yang memegang portfolio Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Anwar yang menerajui Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat tidak terlepas daripada menerima kritikan masyarakat.

Justeru, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berpandangan, sekurang-kurangnya 100 hari atau setahun perlu diberikan kepada Anwar untuk menjalankan tugas, sebelum mengkritik Perdana Menteri berusia 75 tahun itu.

“Saya lihat banyak kritikan-kritikan di media sosial menyatakan begitu, begini. Sekurang-kurangnya bagi 100 hari atau setahun. Selepas setahun, masih lagi buntu, bolehlah kritik.

“Selepas lima tahun, boleh tukar kerajaan yang baharu. Tiada masalah kerana kita ini negara demokrasi,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, baru-baru ini.

Dr Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pentadbiran Anwar di bawah Kerajaan Perpaduan.

Menurut Dr Mazlan lagi, peluang wajar diberikan kepada tokoh politik itu untuk beliau membentuk semula negara.

“Kita bagi peluang (5 tahun) kepada Datuk Seri Anwar untuk membentuk semula negara ini dan membuktikan bahawa perjuangan beliau selama ini adalah bukan sekadar kata-kata sahaja, tetapi adalah iltizam untuk membela rakyat dan membangunkan negara,” ujarnya lagi.

Dalam siri laporan sebelum ini, Dr Mazlan yang juga pemerhati politik berpendapat, Anwar adalah seseorang yang dilihat ‘boleh membuat kerja’.

“Saya beri kredit kepada Datuk Seri Anwar. Beliau bagus dalam tugas, tetapi saya lihat ada beberapa menteri perlu meningkatkan prestasi mereka dan mesti menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat terlebih dahulu, antaranya kos hidup.

“Bagaimanapun, saya lihat ada beberapa menteri yang menunjukkan prestasi baik, misalnya Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke. Memang nampak beliau turun padang. Ini saya beri merit yang tinggi kepada beliau,” katanya.