Bersatu berdepan krisis kepercayaan terhadap Mahiaddin

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah tersilap.

Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah terdiri daripada Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) telah keluar parti.

Namun, menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, hakikat sebenarnya Bersatu berhadapan dengan krisis kepercayaan terhadap Mahiaddin.

Apa yang berlaku di Sabah, jelasnya ketika dihubungi Harapan Daily, ahli-ahli Bersatu telah hilang kerusi mereka sejak awal lagi di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Mereka tidak lagi percaya kepada Mahiaddin, dalam masa yang sama dia dah hilang moral dari sudut memimpin sebuah parti.

“Terpulang kepada Mahiaddin untuk membawa kes ini ke mahkamah untuk mahkamah membuat keputusan itu adalah hak mahkamah.

“Hak parti mereka tetapi beliau haruslah menerima hakikat bahawa mereka ini telah pun meninggalkan Bersatu lebih awal,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU-15 pada 19 November lalu.

Justeru, beliau bersetuju bahawa pendapat yang dikeluarkan Johari Abdul sudah tentu merujuk kepada pakar-pakar perundangan tentang kedudukan mereka ini sama ada tergugur sebagai Ahli Dewan Rakyat atau tidak.

“Dan ini jelas bahawa mereka tidak perlu mengosongkan kerusi dan kerusi itu tidak perlu dikosongkan dan mereka kekal sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.

Mahiaddin dalam tulisannya hari ini menuduh Johari Abdul terkilaf atas perbuatannya yang memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat Sabah tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam PRU-15.

Bahkan, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

Baca juga Dengan momentum Anwar, PH boleh tarik balik pengundi Melayu