Bersatu bukan mangsa dakwaan terpilih – SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini menegaskan sekali lagi bahawa agensi tersebut tidak menyalahgunakan kuasanya untuk melakukan pendakwaan terpilih terhadap mana-mana individu.

Ini berikutan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, yang mendakwa parti itu menjadi ‘mangsa pendakwaan terpilih’ susulan pendakwaan pemimpin kanan parti itu berhubung kes projek Jana Wibawa.

Menurut Azam, SPRM telah menjalankan siasatan secara profesional dengan bergantung kepada aduan dan juga maklumat yang diterima oleh pihaknya.

                                                                               Azam Baki                           Foto Wan Zahari Wan Salleh

Katanya, setelah agensinya itu menerima sesuatu aduan dan maklumat yang mengandungi unsur-unsur kesalahan jenayah terutama yang melibatkan akta berkaitan SPRM, maka proses siasatan akan dilakukan oleh pihaknya.

“Saya tegaskan sekali lagi, kita (SPRM) bukan satu alat untuk mana-mana parti politik kerana kita (SPRM) menjalankan siasatan berdasarkan kepada keterangan yang ada.

“Jadi, tiada siasatan terpilih atau pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya pada sidang media Op Tropicana di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, seorang individu telah membuat tuduhan kononnya SPRM menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membabitkan Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam kes rasuah projek Jana Wibawa.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Azam berkata SPRM telah mengambil tindakan siasatan terhadap individu terbabit setelah laporan dibuat.

“Semalam, SPRM telah menahan beliau untuk dijalankan siasatan walaupun saya tahu beliau telah membuat permohonan maaf dalam Facebook miliknya.

“Namun demikian, satu perkara yang saya tegaskan sekali lagi, saya secara peribadi tidak ampunkan orang begini yang merosakkan reputasi SPRM dengan membuat pertuduhan liar,” tegasnya.

Tambahnya, tuduhan seperti dilakukan individu berkenaan telah menimbulkan satu spekulasi yang amat tidak baik serta merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM.

Sebelum ini, Wan Saiful, 48, dan Adam Radlan, 42, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka oleh pihak pendakwaan secara berasingan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan Hakim, Suzana Hussin berhubung kes projek Jana Wibawa.

 

BACA JUGA Pemimpin Bersatu dikenakan 2 lagi tuduhan rasuah berkait Jana Wibawa