Bersatu maklum kepada Speaker kononnya 4 kerusi di Sabah kosong

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan mendakwa bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi ‘luar jangka’ dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ini kerana, pemenang di keempat-empat kerusi itu telah keluar dari Bersatu walaupun mereka telah bertanding atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya umum lalu.

Naib Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mereka telah melanggar Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai GRS berbeza dengan pandangan ke empat-empat mereka bahawa mereka bertanding atas tiket GRS bukan Bersatu.

Menurutnya, permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Mengulas lanjut Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan dan tidak menyokong Bersatu merupakan tindakan “crossing the floor” dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Dis 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi GRS Jeffrey Kitingan, berkata empat Ahli Parlimen itu tidak dikira melompat kerana bertanding atas tiket GRS, sambil menambah mereka menerima ‘surat watikah’ bertanding PRU15 daripada GRS, bukannya Bersatu.

Beliau juga merujuk kedudukan mereka dalam Bersatu terhenti selepas menjadi ahli GRS, pada 27 Okt, memandangkan perlembahaan dalam Bersatu sendiri menyatakan keanggotaan gugur secara automatik sekiranya menjadi ahli parti lain.