Bersatu Selangor bercelaru, gagal namakan ‘poster boy’

Hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menamakan mana-mana pimpinannya untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor akan datang telah menimbulkan persoalan dan membuktikan bahawa komponen utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada dalam keadaan bercelaru.

“Adakah pemimpin Bersatu Selangor sedang bertelagah sesama sendiri dalam isu menamakan “poster boy” yang juga bakal calon Menteri Besar dari Perikatan Nasional?

“Saya juga ingin tahu, adakah keputusan menggugurkan Azmin sebagai ‘poster boy’ PN pada PRN Selangor akan datang kerana kesan khianat beliau dalam insiden ‘Langkah Sheraton’ atau kerana masih terpalit dengan video panas Four Point Sandakan yang masih belum selesai?” soal Timbalan Ketua Penerangan PKR, Mohammad Razeef Rakimin dalam satu kenyataan.

Pada 17 Mac, pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan tiga calon: ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (Dilantik) Bersatu Azmin Ali, naib presiden Radzi Jidin dan dirinya seia sekata agar tiada ‘poster boy’ atau dinamakan sebagai calon Menteri Besar sepertimana yang diumumkan oleh presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Sewaktu perhimpunan agung Bersatu, Mahiaddin menyatakan Bersatu akan menamakan calonnya sebagai menteri besar di Negeri Sembilan dan Selangor sekiranya berjaya menumbangkan Pakatan Harapan di kedua-dua negeri tersebut.

Razif menyifatkan kenyataan Rashid sebagai bukti bahawa Radzi juga tidak layak menerajui Selangor.

Beliau turut menambah bahawa perkembangan ini berlaku ekoran dari PN yang terpalit dengan rasuah.

“Dengan kepimpinan Perikatan Nasional yang terpalit dengan rasuah dan salahguna kuasa, ini akan mengikis kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional yang sebelum ini berlindung di sebalik sebuah kerajaan prihatin. Dengan krisis kepimpinan, ini bakal memberi laluan sukar kepada Bersatu dan Perikatan Nasional berdepan PRN.”

Selangor dan lima negeri lain – Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal berdepan PRN. Dewan undangan negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan dalam bulan Jun.

BACA JUGA: Kerusi Kota Anggerik, Batu Tiga diyakini kekal milik PH