Bersikap positif memberikan kebahagiaan hidup bernegara

Ada dua pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke minggu lalu. Pertama mengenai tidak perlunya memasang pelekat cukai jalan. Kedua, perubahan nama KLIA1 dan KLIA2 kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

Langkah tidak memasang pelekat cukai jalan itu adalah suatu perkara besar untuk ke arah kehidupan bernegara berdigital. Sepatutnya ia sudah lama dilakukan tetapi atas sebab-sebab tertentu baru sekarang ia dapat dilaksanakan.

Sudah tentu langkah itu telah difikirkan secara masak dan ia juga dibincangkan di peringkat jabatan sebelum menteri membuat keputusan.

Maknanya ia bukan saja keputusan di pihak menteri tetapi segala aspek mengenainya telah diteliti oleh pegawai dan kakitangan awam yang mempunyai data dan maklumat.

Ada antara maklumat itu merupakan sesuatu yang tidak wajar didedahkan pada awam.

Mungkin ada wartawan yang mengetahuinya tetapi atas kepentingan kerajaan, mereka juga tidak boleh memaklumkan pada orang ramai.

Orang ramai termasuk saya tentulah tidak mengetahui banyak perkara berkenaan perbincangan-perbincangan itu.

Bukan saja tidak ada akses kepada maklunat itu, tetapi tidak ada daya untuk mengambil tahu banyak sangat maklumat dalam dunia ini. Lagi pun, ia bukan masalah bagi saya secara langsung.

Sebenarnya kerajaan yang ada hari ini adalah paling telus dalam sejarah. Bukan saja ia adalah lebih telus dan demokratik tetapi kerana adanya teknologi maklumat yang lebih luas dan mendalam.

Menteri-menterinya juga tampil ke depan bukan saja dengan mengadakan banyak sidang media tetapi maklumat boleh diakses oleh orang ramai melalui media sosial.

Anthony Loke misalnya mempunyai kehadiran di Facebook yang turut menjelaskan mengenai langkah kementeriannya menghentikan pelekat cukai jalan raya. Tetapi banyak netizen tidak membacanya. Ada antaranya membuat komen mengikut sentinem prejudis terhadap Kerajaan Perpaduan.

Melihat kepada hantaran sebahagian netizen, kebanyakannya mengalu-alukan langkah kerajaan itu kerana ia menyenangkan semua orang.

Saya bersikap positif terhadap langkah ini bukan saja ia merupakan sesuatu yang baik tetapi saya percaya pada Kerajaan Perpaduan ini.

Maknanya saya bersikap positif walaupun ada juga perkara-perkara yang saya tidak setuju dan tidak bermasalah bagi saya untuk melontarkan kritik.

Tetapi melihat hantaran para netizen itu, terdapat juga ramai yang bersikap negatif. Ada antaranya merupakan mereka yang berfikiran negatif tegar.

Mereka ini sentiasa memandang buruk pada apa saja langkah kerajaan kerana mereka anti Pakatan Harapan. Tetapi terdapat juga yang sentiasa melihat negara ini dengan kacamata negatif.

Kadang kala ada antara mereka yang berimaginasi besar. Mereka fikir secara berlebihan.

Ada hantaran itu menyatakan bahawa dengan tidak menampal pelekat ini, polis ketika membuat pemeriksaan jalan raya bukan saja akan mengetahui sana ada kereta membayar cukai jalan atau tidak.

Mereka membuat spekulasi bahawa kesalahan-kesalahan lalu lintas yang lain akan turut diketahui sedangkan pelaksanaan oleh pihak polis belum diketahui mereka.

Sebenarnya, pemikiran negatif terhadap kerajaan, tidak kira kerajaan apa pun sudah wujud sejak dari dahulu lagi.

Cuma sekarang ia kelihatan lebih lantang kerana adanya media sosial di mana orang ramai bebas bersuara untuk menonjolkan sikap negatif mereka.

Sebelum adanya media sosial, suara sumbang begini hanya diluahkan dalam perbualan-perbualan di kedai-kedai kopi atau di rumah-rumah saja, maka ia tidak terserlah.

Tidak ada media arus perdana yang akan menyiarkannya. Ini kerana semuanya dikawal oleh kerajaan atau parti pemerintah.

Perlu disebut bahawa kritikan yang wajar dan membina adalah berbeza dengan sikap negatif. Kritikan positif datang dari sikap positif. Begitulah juga, sikap negatif mendatangkan kritikan negatif.

Namun di sini, apa yang saya hendak kisahkan bukanlah mengenai peraturan tidak perlu melihat cukai jalan itu.

Apa yang saya hendak sentuh ialah sikap negatif yang ditunjukkan oleh seorang netizen mengenai perubahan nama KLIA. Ia hanya hendak menggambarkan suatu sikap negatif.

Perubahan nama KLIA1 kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA2 kepada KLIA Terminal 2 adalah suatu langkah penjenamaan semula biasa bagi tujuan komersial.

Ia merupakan satu langkah yang masuk akal dan tiada apa pun yang perlu dikomen.

Tetapi ada suatu komen yang berbunyi: “Setakat tu je lah puak-puak tu pandai, lebih dari itu ke laut”

Apa yang dimaksudkan dengan “puak-puak tu” ialah tentunya Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan. Nada komen itu adalah menghina dan mengejek.

Seolah-olah ia mahu menggambarkan bahawa Kerajaan Perpaduan hanya mampu menamakan semula sesuatu tempat atau membuat penjenamaan semula saja, dan tidak menyelesaikan masalah, atau memperkenalkan idea baharu.

Apa yang dimaksudkan “ke laut” itu pula bermakna gagal. Sebenarnya komen seperti ini tidak perlu dilayan kerana bukan saja is tidak berasas tetapi ia tidak adil.

Bagaimanakah yang ia katakan Kerajaan Perpaduan ini “ke laut” sedangkan ia baru memerintah lebih dua bulan? Dalam dua bulan sudah banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan ini, baik di peringkat Perdana Menteri mahupun menteri.

Bukan setakat penjenamaan semula. Maklumat mengenai mereka bukan saja apa yang disiarkan dalam bentuk berita tetapi juga keterangan di laman-laman web rasmi menteri dan kementerian.

Tidak ramai orang yang membaca perkara-perkara rasmi kerajaan. Jadi kalau tidak membaca dan mengetahui apa yang dibaca, mereka tidaklah boleh menilai kerajaan dengan begitu saja

Sebenarnya, adalah suatu yang membosankan untuk membaca perkara-perkara rasmi dari kerajaan walaupun ia mengandungi bahan-bahan penting. Sebab itu ia memerlukan wartawan untuk melaporkannya dalam bentuk berita.

Ini kerana dalam pemberitaan, ia akan memaparkan perkara-perkara yang penting tetapi menarik bagi pembaca, pendengar atau penonton dengan ditopang oleh fakta yang mencukupi serta hujah-hujah bagi menyokongnya.

Pada zaman pra-internet, rakyat bergantung berita kerajaan dari akhbar, radio dab televisyen. Maka maklumat dari jerajaan disampaikan dalam bentuk berita melalui media arus perdana.

Oleh kerana pada umumnya rakyat mengikuti semua berita dari media yang sama, maka semua maklumat yang kerajaan hendak sampaikan dapat diterima tanpa gangguan komen-komen negatif dan toksik.

Dalam zaman internet, tumpuan rakyat bukan lagi pada arus perdana.

Tumpuan orang ramai berpecah-pecah padal pelbagai media khususnya media sosial. Dengan banyak saluran, rakyat boleh memilih untuk tidak menatap sebarang maklumat dari kerajaan.

Akibatnya mereka jahil terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan. Ini ditambah pula dengan maklumat palsu oleh pihak-pihak yang semata-mata mahu memburukkan kerajaan kerana politik.

Belum lagi dikira komen-komen dari orang yang sifatnya negatif dan membuat perasaan pembaca sentiasa resah dan tidak bersyukur pada keadaan negara.

Sebenarnya saya timbulkan tentang komen itu adalah hendak menunjukkan mengenai sikap negatif dan positif. Semua orang perlu hidup bernegara.

Maknanya hidup setiap warga negara tidak terlepas daripada urusan rasmi negara. Ada dua saja pilihan, sama ada bersikap positif atau negatif. Bersikap positif akan mendatangkan kebahagiaan.

Sebaliknya, sikap negatif akan hanya mendatangkan sakit hati dan tentu tidak menggembirakan hidup.

BACA JUGA: Menu Rahmah suatu inisiatif ikhtiar