Bidang pertanian Malaysia-China diperkukuh

Malaysia mahu mengukuhkan lagi hubungan dengan China dalam bidang pertanian selain berbincang mengenai kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), perkara itu dinyatakan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, TYT Ouyang Yujing kepada Menteri MAFS pada hari ini di Putrajaya.

Kementerian berkata, pertemuan pertama antara dua negara itu turut membincangkan kerjasama dalam pertanian moden dan penyelidikan pertanian.

“China bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam polisi berkaitan pembasmian kemiskinan melalui program pertanian.

“China turut akan mewujudkan pasaran komoditi dan rantaian nilai makanan yang mampan serta penggunaan pertanian pintar dalam pengeluaran bijirin,” katanya.

Menurut MAFS, kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

“Malaysia berharap agar China akan terus berkongsi kejayaan dengan rakan-rakan dagang bagi mencapai kemakmuran bersama terutamanya dalam bidang pertanian,” katanya.

China kekal menjadi rakan dagang utama terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut sejak 2009.

Dalam pada itu pada November 2022, perdagangan dengan China mencatatkan RM43.18 bilion iaitu meningkat sebanyak 13.5 peratus manakala eksport naik 9.2 peratus kepada RM18.85 bilion dan import menokok 17.1 peratus kepada RM24.33 bilion.

Baca juga Bekalan ayam, telur sudah mula pulih