Bila angkat sumpah ni? Portfolio MP Bersatu-PN kena perli

Poster senarai portfolio pengkhususan Ahli Parlimen (MP) Bersatu yang dikongsikan oleh ketua sayap pemuda parti itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat hanya mengundang sindiran orang ramai.

Reaksi perli warganet itu membanjiri ruangan komentar bagi hantaran di Facebook, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkenaan.

“Portfolio yang diketuai oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama Perikatan Nasional,” tulis Wan Ahmad Fayhsal.

Fayhsal (kiri) berkata, ‘we are ready!’ susulan terbentuknya “Kabinet bayangan” PN.

Menerusi maklumat sebahagian “Kabinet bayangan” yang terdiri daripada 15 MP itu, Fayhsal yang juga bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara kini ‘memegang’ portfolio Kementerian Luar Negeri.

Susulan perkongsian senarai jawatankuasa portfolio oleh Ahli Parlimen Machang itu, rata-rata netizen menjadikannya sebagai bahan jenaka.

“Bila angkat sumpah ni?

“Tahniah YB. Merasa juga Menteri Penuh.

“Jangan ponteng di Parlimen macam dulu-dulu ya. Rakyat nampak siapa pemalas.

“Wah, jarang-jaranglah ada di Malaysia, selalu out station ni,” demikian antara sindiran orang ramai.

Tidak kurang juga berpendapat senarai tersebut tidak lebih hanya kempen PN untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bila-bila masa sahaja akan diadakan.

Untuk rekod, senarai ‘Kabinet bayangan’ itu dimuktamadkan susulan permukiman 74 Ahli Parlimen PN di ibu negara selama dua hari bermula 1 Februari lalu.

BACA JUGA ‘Kabinet bayangan’ PN bakal diumum