Boleh terus bekerja, bayar tol dan hidangkanlah ‘rendang simen’

Anda boleh sahaja pergi ke tempat kerja meskipun kerajaan telah memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri ini.

Jika masih tegar tidak puas hati dengan kerajaan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menggelarnya ‘BMX’ yang sepatutnya ‘PMX’, anda juga boleh membuat rayuan kepada pihak konsesi tol.

Moga ada laluan khas untuk pembenci kerajaan Madani secara senang hati membayar tol di 33 lebuh raya di seluruh negara selama empat hari bermula hari ini.

Bagi mereka yang galak pula mengulang sindiran ‘rendang simen’ dan ‘kuah kacang simen’, sudahkah anda berkejar ke kedai perkakasan dan peralatan rumah untuk membeli berkampit-kampit simen?

Bolehlah mula memasaknya hari ini dan menghidangkan kebebalan istimewa anda itu pada 1 Syawal nanti. Jangan lupa jadikan sebagai kandungan sensasi TikTok anda. Moga tular sedunia dengan menerima pujian mencurah.

Antara sindiran ‘rendang simen’ selepas PM Anwar mengumumkan penurunan harga simen untuk manfaat pemaju rumah mampu milik.

Ketika majoriti rakyat teruja dan bersyukur dengan tujuh khabar gembira diumumkan Perdana Menteri semalam, mereka yang hatinya sudah hitam berlumba-lumba memperlekeh kerajaan tanpa sedar menelanjangkan kedunguan.

Tidak cukup dengan musim sebelum malah selepas pilihan raya, menjelang Hari Raya kebesaran umat Islam pun, media sosial terus menjadi gelanggang penyokong pembangkang menonjolkan rendahnya akal dan kewarasan mereka.

Reaksi tidak rasional mereka seolah-olah pembenci Kerajaan Perpaduan bukan daripada golongan B40 yang sama sekali tidak menerima sebarang manfaat daripada banyak polisi dan pelbagai inisiatif bermanfaat kepada rakyat.

Mustahil marhaen penyokong pembangkang tidak ingin menjamah Menu Rahmah jika ada di depan mata.

Walhal, Perdana Menteri semalam turut mengumumkan diskaun khas barangan mentah termasuk ayam, bawang dan barangan asas makanan lain bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah.

Penyelesaian yang dilihat mewujudkan situasi menang-menang itu sekali gus dapat memastikan peniaga terus bersemangat untuk menyediakan Menu Rahmah yang berkhasiat dan sedap pada harga yang rendah.

Pelik juga jika penyokong pembangkang yang susah dibelenggu hutang hingga terus menyalak mahukan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak teruja pula untuk melunaskan saman tertunggak dengan kadar harga RM50.

Atau adakah individu pembangkang, bersih lagi suci pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya daripada kesalahan trafik PDRM hingga sanggup mengabaikan kadar khas bayaran saman yang ditawarkan bermula 21 April sehingga 21 Mei depan?

Paling lucu, ada yang tergamak merungut apa gunanya cuti tambahan jika wang sedikit di tangan. Kerajaan tidak paksa pun rakyat beraya sakan dengan tambahan cuti sehari yang diberi.

Mungkin pembenci kerajaan Madani lupa pentingnya cermat semasa banyak, jimat semasa sedikit. Dah tahu duit sedikit, berayalah sikit-sikit.

Tanpa mengira anda penyokong kerajaan atau pembangkang, paling penting diamalkan ialah berhemah dalam berbelanja.  Berayalah ikut kemampuan kerana belanja dan membangkang secara berlebihan hanya mengundang penyesalan.

BACA JUGA Agensi kerajaan perlu agresif laksana dasar Malaysia Madani

Â