Bukan tukar beras, tapi ganti kampit pecah, beras berhabuk

Bukan tukar beras, tapi ganti kampit pecah, beras berhabuk

Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (JFC) hari ini menafikan video tular di media sosial yang mendakwa beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import.

JFC menerusi kenyataan, mengesahkan video tular tersebut telah dirakam di dalam kilang Jasmine bertempat di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada 2 September lalu, namun menafikan dakwaan yang dinyatakan dalam video berkenaan.

“Dakwaan bahawa bungkusan beras yang dibuka merupakan beras tempatan seperti yang dinyatakan di dalam video tersebut adalah tidak benar, sebaliknya ia adalah Beras Putih Import (BPI).

“Pembungkusan semula BPI merupakan satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasar raya,” maklum kenyataan itu.

Menurut penjelasan JFC lagi, proses berkenaan dibuat demi memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan.

“JFC mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras-beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, JFC menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan dan syarikat itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik syarikat.

 

BACA JUGA Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )