Bukan waktu terbaik perkenalkan semula GST

Bukan waktu terbaik perkenalkan semula GST

Sekarang bukan waktu terbaik untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ekonomi dunia masih belum rancak, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Pelaksanaan GST perlu dilihat secara menyeluruh dan bukannya berdasarkan cadangan sesetengah pihak, katanya.

“Pihak berkenaan mempunyai alasan untuk pengenalan semula GST. Contohnya, para pedagang boleh mengatakan mereka boleh tuntut semula tapi kita perlu meneliti situasi ini secara menyeluruh dan bukan hanya satu dua pihak.

“Saya tidak menyatakan GST bagus atau tidak… tapi waktunya tidak bersesuaian memandangkan kita berhadapan ekonomi global yang perlahan dan peningkatan harga barang,” katanya seusai sesi dialog di Jerayawara Belanjawan 2024 peringkat negeri Perak.

Media sebelum ini memetik kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan bahawa beberapa pihak mahukan pengenalan semula GST.

Ini termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan beberapa pihak lain.

Sim berkata kerajaan mempunyai kaedah lain untuk meningkatkan hasil negara selain daripada melaksanakan GST.

 

COMMENTS

Wordpress (0)